KKM perlu adakan libat urus bincang cadangan larangan vape

KKM perlu mengadakan sesi libat urus dengan pihak industri vape bagi membincangkan cadangan melarang pameran dan penjualan produk tersebut. Gambar hiasan
KKM perlu mengadakan sesi libat urus dengan pihak industri vape bagi membincangkan cadangan melarang pameran dan penjualan produk tersebut. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak dalam industri vape bagi membincangkan cadangan melarang pameran dan penjualan produk tersebut.

Presiden Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (MEVTA), Mohamad Neezam Talib berkata, pertemuan itu penting bagi memberi butiran secara terperinci untuk dibincangkan secara telus sekali gus membolehkan semua pihak melontarkan pandangan masing-masing berhubung cadangan berkenaan.

Ujar Mohamad Neezam, cadangan KKM untuk melaksanakan larangan dan kawalan perisa, penetapan reka bentuk serta pembungkusan standard untuk produk vape itu disifatkan sebagai terlampau drastik sekali gus bakal matikan industri tempatan.

“Malah, industri juga difahamkan bahawa KKM akan melarang produk vape untuk dipamerkan di kedai, dan melarang penjualan botol cecair vape (produk sistem terbuka) yang dikilangkan oleh usahawan tempatan.

“Kami tidak bersetuju dengan cadangan-cadangan ini kerana ramai usahawan tempatan akan terkesan dan ramai pekerja dalam industri akan terjejas akibat cadangan yang drastik ini.”

“Selama ini, kami tidak pernah diajak berbincang mengenai apa-apa cadangan larangan dan kawalan perisa, penetapan reka bentuk vape yang standard, pembungkusan standard untuk produk vape, larangan mempamerkan produk di kedai atau larangan menjual botol cecair vape,” katanya dalam satu kenyataan bersama pada Isnin.

Kenyataan Mohamad Neezam pada Isnin.
Kenyataan Mohamad Neezam pada Isnin.

Kenyataan bersama itu melibatkan gabungan MEVTA, Persatuan Peniaga Vape Melayu (PPVM) dan Persatuan Pengeluar Cecair Vape Malaysia (MEBA).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Presiden PPVM, Sabri Ismail berkata, KKM juga disaran untuk memperkenalkan peraturan vape yang berlainan daripada hasil tembakau serta berbincang bersama industri untuk mencari titik tengah dalam penetapan peraturan produk tersebut.

“Produk vape bukannya rokok tembakau atau pemanas tembakau dan peraturan yang dikenakan tidak perlu sampai begitu drastik.

“Sekiranya KKM memperkenalkan peraturan-peraturan yang drastik ke atas produk vape, ia akan memberikan kelebihan kepada produk hasil tembakau dan pengguna akan mempunyai tanggapan yang salah ke atas produk vape.

“Di negara-negara yang lain seperti New Zealand, United Kingdom (UK), peraturan-peraturan untuk vape adalah berlainan daripada hasil tembakau,” ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden MEBA, Zack Ariffin berkata, larangan penjualan vape juga boleh mengakibatkan ramai peniaga Melayu gulung tikar.

“Larangan sebegini hanya akan memberikan kelebihan kepada syarikat asing dan produk import kerana produk pakai buang vape dan sistem tertutup vape adalah diimport dari negara China.

“Kerajaan sepatutnya membuat polisi dengan memberikan pertimbangan yang wajar kepada industri tempatan dan bukannya mematikan industri tempatan,” jelasnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28