Hasrat beli martabak untuk ibu tidak kesampaian

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas terbabit dalam nahas jalan raya di Parit pada Ahad. Foto ihsan pembaca
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas terbabit dalam nahas jalan raya di Parit pada Ahad. Foto ihsan pembaca
A
A
A

PARIT - Hasrat seorang lelaki memenuhi permintaan ibunya untuk menikmati martabak ketika berbuka puasa tidak kesampaian apabila dia terkorban dalam nahas di Kilometer 3, Jalan Bota Kiri-Tanjung Belanja, di sini pada Ahad.

Dalam kejadian sekitar jam 5 petang itu, mangsa, Megat Azman Megat Yahaya, 41, disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala.

Difahamkan, mangsa yang menunggang motosikal dalam perjalanan menuju ke bazar Ramadan berhampiran untuk membeli martabak dan juadah lain untuk berbuka puasa bersama keluarganya di kampung.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, laporan kemalangan diterima melibatkan sebuah pacuan empat roda jenis Suzuki Jimny yang dipandu lelaki berusia 82 tahun dan motosikal jenis Honda RS150 ditunggang mangsa.

Menurut beliau, kemalangan berlaku apabila kenderaan terbabit bergerak dari arah Bota Kiri menuju Tanjung Belanja manakala mangsa dari arah bertentangan.

"Apabila sampai di lokasi, kenderaan terbabit dipercayai hendak masuk ke simpang kanan jalan lalu dilanggar mangsa di bahagian 'fender' hadapan sebelah kiri.

"Kemalangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Hafezul Helmi berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik, Hospital Changkat Melintang untuk dibedah siasat.

Artikel Berkaitan:

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan 'Severe traumatic brain injury consistent with motor vehicle accident'.

"Warga emas terlibat telah ditahan untuk siasatan lanjut yang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!