Anwar berbuka puasa bersama pengamal media di Seri Perdana

Anwar dan Dr Wan Azizah (duduk dua dari kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Nur-ul Afida Kamaludin (duduk tiga, kanan) dan Ketua Pegawai Kandungan The Star, Datin Paduka Esther Ng Sek Yee semasa Majlis Berbuka Puasa MADANI bersama pengamal media di Kompleks Seri Perdana malam Rabu. - Foto Bernama
Anwar dan Dr Wan Azizah (duduk dua dari kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Nur-ul Afida Kamaludin (duduk tiga, kanan) dan Ketua Pegawai Kandungan The Star, Datin Paduka Esther Ng Sek Yee semasa Majlis Berbuka Puasa MADANI bersama pengamal media di Kompleks Seri Perdana malam Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa berbuka puasa bersama pengamal media pada Majlis Berbuka Puasa MADANI di Kompleks Seri Perdana di sini.

Perdana Menteri yang tiba pada jam 6.57 petang dengan lengkap berbaju Melayu itu disambut isteri beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Sebelum berbuka, Anwar meluangkan masa bersalaman, berbual dan beramah mesra dengan hadirin pada majlis itu.

Sebanyak 200 pengamal media cetak, elektronik dan dalam talian daripada lebih 70 agensi media tempatan termasuk Sabah dan Sarawak, kelab media tempatan dan antarabangsa serta veteran media diraikan dalam majlis berkenaan.

Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan kepada 20 petugas media dan bekas petugas yang sedang mengalami keuzuran kesihatan serta kurang berkemampuan.

Sumbangan itu adalah daripada Tabung Kasih@HAWANA dan Perbadanan Nasional Bhd (PERNAS).

Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan bersempena dengan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023, bertujuan menyantuni pengamal media, bekas petugas media dan wartawan veteran yang memerlukan bantuan.

Ia merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi (ketika itu Kementerian Komunikasi dan Digital) dan dilaksanakan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai usaha berterusan membantu komuniti media yang berdepan dengan kesukaran dan cabaran hidup.

Antara yang hadir dari Bernama ialah Pengerusi Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir Pengerusi Kumpulan Media Prima Bhd Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid dan Pengarang Urusan Kumpulan NSTP Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Perdana Menteri kemudian menunaikan solat maghrib secara berjemaah yang diimamkan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Abdul Karim Zakaria.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan memaklumkan majlis berbuka puasa itu merupakan acara tahunan yang diadakan oleh Pejabat Perdana Menteri bertujuan menyantuni dan menghargai petugas-petugas media yang bertungkus lumus menyajikan berita-berita terkini kepada masyarakat, di samping memupuk ikatan silaturahim. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28