Tekanan emosi, gangguan mental antara penyebab depresi

A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Tekanan emosi secara berlebihan, gangguan mental seperti depresi dan masalah ekonomi keluarga antara faktor yang mendorong seseorang itu bertindak luar kawalan.

Pakar Psikologi dan Kaunseling dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Fauziah Mohd Sa'ad berkata, kegagalan mengawal emosi boleh mengakibatkan tindakan impulsif sehingga mendatangkan kecederaan terhadap diri sendiri atau orang lain termasuk membunuh.

“Keletihan mental, emosi dan tekanan hidup daripada persekitaran sosial mahupun ekonomi menyebabkan individu gagal mengawal emosi sehingga hilang kewarasan dalam melakukan sebarang tindakan.

“Kesan daripada keadaan tersebut menyebabkan seseorang itu boleh menjadi impulsif dengan mencederakan diri sendiri atau orang lain.

“Oleh itu jika kita melihat ahli keluarga mempunyai simptom depresi seperti perasaan sedih, rasa putus asa secara berterusan, perubahan berat badan atau selera makan, gangguan tidur selama dua minggu atau lebih, disarankan untuk mencari bantuan daripada profesional kesihatan mental,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sebelum ini, Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar memaklumkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun enam bulan maut dikelar ibu kandungnya dalam kejadian di sebuah kawasan perumahan di Pasir Gudang.

Dalam pada itu, menurut Fauziah, bagi mengatasi masalah tersebut ahli keluarga atau rakan terdekat perlu memberi sokongan moral dan mendengar sebarang luahan perasaan supaya dapat melakukan tindakan lanjut dengan kadar segera.

Ujarnya, menerusi amalan meditasi dan senaman secara berkala dapat mengenal pasti punca tekanan seterusnya mencari penyelesaian untuk mengatasi masalah itu.

Artikel Berkaitan:

“Sekiranya terdapat ahli keluarga terdekat yang mengalami simptom depresi, segera mencari jalan penyelesaian bagi mengelakkan sebarang niat seseorang itu mencederakan diri sendiri atau orang lain,” katanya.