MBNP gerak usaha bantu jaga kelestarian Cameron Highlands

Wan Emril Nizam (depan, enam dari kanan) dan Sariffa Sabrina (depan, empat dari kiri) bersama wakil agensi kerajaan dan badan gabungan yang hadir pada Persidangan Meja Bulat MBNP: Pencemaran Cameron Highlands, Isu dan Solusi di sini hari ini.
Wan Emril Nizam (depan, enam dari kanan) dan Sariffa Sabrina (depan, empat dari kiri) bersama wakil agensi kerajaan dan badan gabungan yang hadir pada Persidangan Meja Bulat MBNP: Pencemaran Cameron Highlands, Isu dan Solusi di sini hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) akan menggerakkan usaha dalam mempertahankan Cameron Highlands sebagai aset negara dan negeri.

Presidennya, Wan Emril Nizam Wan Embong berkata, pihaknya bersama 26 badan gabungan akan bekerjasama dengan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) lain dalam merangka dan melaksanakan program pemulihan serta pemuliharaan alam sekitar di kawasan tanah tinggi itu.

Menurutnya, antara cadangan program tahun ini termasuk program gotong-royong menanam pokok di tapak bekas kebun haram di kawasan tadahan air Kuala Terla, Sungai Ichat yang dibersihkan melalui Ops Lestari 2.0.

"Usaha yang digerakkan ini sebagai menyokong langkah kerajaan termasuk kerajaan Pahang menguatkuasakan undang-undang dalam membendung aktiviti pekebun haram di kawasan tersebut.

"Justeru, kita terpanggil untuk berperanan dalam perkara ini bagi memastikan kelestarian alam sekitar di Cameron Highlands dapat dipulihara dan dikekalkan untuk generasi akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Persidangan Meja Bulat MBNP: Pencemaran Cameron Highlands,Isu dan Solusi di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil dan wakil badan gabungan.

Wan Emril berkata, selain program gotong-royong, pihaknya turut merancang untuk mengadakan program-program kesedaran melalui kerjasama dengan pelbagai NGO.

Artikel Berkaitan:

"Justeru kami di MBNP akan memantapkan kerjasama dengan semua pihak bagi menjayakan agenda mempertahankan kelestarian alam sekitar di Cameron Highlands ini," katanya.

Sementara itu, Shariffa Sabrina berkata, beliau menyambut baik usaha MBNP untuk mengambil peranan dalam isu penjagaan alam sekitar khususnya di Cameron Highlands.

Menurutnya, beliau melihat golongan belia melalui majlis belia ini serius dalam isu alam sekitar dan ia sepatutnya diikuti majlis belia di negeri lain.

"Kita kena faham kepentingan dalam menjaga alam sekitar dan sudah semestinya peranan mempertahankan khazanah alam ini itu perlu dimainkan semua pihak terutama orang muda.

"Kami di Peka sedia memberi kerjasama dan menyokong usaha mana-mana pihak yang serius dalam usaha ini.

"Kini masa untuk kita semua bertindak bukan lagi bercakap dalam perkara ini," katanya.