Wanita ditemui maut dalam bilik hotel

Wanita tempatan berusia 40 tahun ditemui tidak sedarkan diri seorang diri dalam bilik hotel. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Raub Selamat)
Wanita tempatan berusia 40 tahun ditemui tidak sedarkan diri seorang diri dalam bilik hotel. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Raub Selamat)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang wanita tempatan ditemukan sudah meninggal dunia dalam sebuah bilik hotel di bandar raya ini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian terbabit dilaporkan orang awam kepada pihak polis pada jam 3.30 pagi.

"Wanita tempatan terbabit yang berusia 40 tahun ditemui tidak sedarkan diri seorang diri dalam bilik hotel.

"Pemeriksaan lanjut oleh Penolong Pegawai Perubatan dari Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultanah Aminah (HSA) mendapati mangsa sudah meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, siasatan lanjut anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan mendapati tiada sebarang kesan atau perbuatan yang melibatkan unsur-unsur jenayah atau berlaku pergelutan ditemui.

Katanya, kes disiasat dan diklasifisasikan sebagai mati mengejut manakala mayat mangsa dihantar ke HSA untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

"Pihak polis mohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh berhubung menerusi hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323 atau boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Asri Jamalin 014-6270324," katanya.

Sebelum ini tular dalam media sosial seorang wanita warga Singapura ditemui mati dalam bilik hotel di bandar raya ini.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!