Ahli Parlimen Paya Besar sambung PhD bidang AI

Mohd Shahar kini merupakan pelajar PhD bidang AI di Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun.
Mohd Shahar kini merupakan pelajar PhD bidang AI di Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah mengumumkan kembali melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) di bawah Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Kewangan II, telah memilih bidang Kejuruteraan Kecerdasan Buatan.

"Alhamdulillah. Semoga ALLAH SWT permudahkan urusan saya dalam menuntut ilmu di peringkat PhD dalam bidang Kejuruteraan Kecerdasan Buatan (Artificial Intellingence).

"Saya secara rasminya pagi tadi mendaftar di Malaysian-Japan International Institute of Technology (MJITT).

"Saya sangat teruja dan tidak sabar untuk memulakan perjalanan baharu ini. Doakan saya," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Kecerdasan buatan kini menjadi bidang yang semakin penting dan diguna pakai secara meluas di peringkat global.

Malaysia tidak ketinggalan dalam memastikan institusi pendidikan negara turut menawarkan bidang berkenaan untuk memenuhi keperluan masa depan.

Pada Rabu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama UTM sedang membangunkan Fakulti AI pertama di Malaysia sebagai satu daripada usaha memenuhi keperluan semasa.

Artikel Berkaitan:

Sebagai permulaan, program Ijazah Sarjana Muda Kecerdasan Buatan (AI) telah diluluskan di peringkat Jawatankuasa Pendidikan Tinggi (JKPT) pada Januari lepas dan pelajar kohort pertama program itu akan memulakan pengajian Oktober ini.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28