Jiran masih trauma lihat darah kanak-kanak dikelar

A
A
A

PASIR GUDANG - "Sewaktu tiba di rumah itu, saya nampak sekujur tubuh kanak-kanak berdarah. Ibunya pula duduk bersila dan terdiam," kata seorang wanita yang merupakan jiran kepada keluarga mangsa di Taman Cahaya Masai.

Wanita yang enggan dikenali itu memberitahu, dia mengetahui kejadian itu pada kira-kira jam 1 tengah hari pada Sabtu, selepas salah seorang jiran meminta pertolongan.

"Saya terperanjat bila tiba di rumah itu dan beritahu suami mengenai kejadian yang berlaku. Tidak lama kemudian, polis tiba dan uruskan kes tersebut.

"Saya sudah lama mengenali jiran saya itu. Dia baik dan ramah serta sering membawa keluar anaknya itu berjalan-jalan di sekitar kawasan lorong rumah kami," katanya ketika ditemui, pada Ahad.

Wanita berusia lingkungan 30an itu masih trauma kerana fobia melihat darah dan masih tidak dapat melelapkan mata.

"Saya juga mempunyai dua orang anak, yang bongsu berusia empat tahun kerap bermain dengan anak mangsa. Saya juga sedih dengan kejadian ini," katanya.

Sementara itu, seorang lagi jiran memberitahu, keluarga mangsa sempat memberi donat sebagai juadah berbuka puasa pada malam sebelum kejadian.

"Mereka sekeluarga sempat beri donat kepada kami sekeluarga dan jiran-jiran yang lain.

Artikel Berkaitan:

"Jiran saya itu 'okay' sahaja, bila jumpa dia akan tegur. Isterinya juga selalu dilihat membawa anaknya keluar berjalan-jalan," katanya.

Tambahnya, selepas berpindah di situ sejak dua tahun lalu, tiada yang aneh hendak digambarkan terhadap pasangan terbabit kerana mereka disifatkan cukup baik dan aktif dalam kegiatan kejiranan bersama penduduk di situ.

Malah, ujarnya sebelum kejadian dia tidak pernah melihat atau mendengar suara kanak-kanak menangis atau jirannya bertengkar di rumah itu.