Parti komponen tanding guna logo GRS pada PRN akan datang - Hajiji

Hajiji ketika meninjau gerai jualan di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama di Lok Batik, Tuaran.
Hajiji ketika meninjau gerai jualan di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama di Lok Batik, Tuaran.
A
A
A

TUARAN - Parti di bawah komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan menggunakan logo GRS untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Sehubungan itu, Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor mahu supaya calon yang diletakkan di bawah GRS adalah calon yang boleh menang dalam PRN itu nanti.

Beliau yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, sekarang bukan masanya untuk semua parti melobi kerusi sebagai calon untuk bertanding.

"Kita semua akan bertanding menggunakan satu simbol iaitu simbol GRS. Jadi ia bukan mengenai kerusi semata-mata tetapi apa yang kita mahukan ialah calon yang boleh menang.

"Saya harap semua pemimpin kita menggunakan kebijaksanaan mereka untuk meneruskan perjuangan untuk rakyat dan pembangunan negeri ini," katanya pada Majlis Berbuka Puasa Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sulaman di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama di Lok Batik di sini pada Sabtu.

Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat dalam pada itu turut mengingatkan pemimpin di peringkat bahagian supaya memperkukuhkan kerjasama di peringkat akar umbi.

"Ini penting memandangkan cabaran yang sedang kita hadapi kini," katanya sambil mengingatkan bahawa penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) akan tamat pada Oktober tahun hadapan.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman mengingatkan bahawa penting untuk pemimpin di peringkat akar umbi turun padang dan mendengar masalah rakyat untuk dibawa ke peringkat pimpinan atasan.

Artikel Berkaitan:

"Landskap politik akan datang menjadi lebih mencabar dan tidak boleh dijangka. Malah, pihak pembangkang menyalahkan saya di media sosial berhubung isu kemarau yang dihadapi kini.

"Jadi ahli parti perlu menjalankan tanggungjawab mereka dan mempertahankan parti daripada fitnah pihak pembangkang," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28