Malaysia sambut baik keputusan Australia mendanai kembali UNRWA - Anwar

Anwar
Anwar
A
A
A

HAMBURG - Malaysia menyambut baik langkah Australia mendanai kembali Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau gembira kerana rakan sejawatannya dari Australia Anthony Albanese mengambil keputusan itu, berikutan keadaan yang semakin meruncing di Gaza.

"Ada anjakan daripada pendirian dulu kepada tuntutan dihentikan serangan dan ditambah peruntukan bantuan kemanusiaan,” katanya pada sidang media di hujung lawatan enam harinya ke Berlin dan Hamburg.

Menteri Luar Australia Penny Wong pada hari Jumaat berkata, Australia yang membekukan pembiayaan kepada UNRWA Januari lepas, akan meningkatkan bantuan kepada Gaza yang terkepung, semasa beliau melahirkan rasa ngeri dengan konflik kemanusiaan yang semakin merosot di kawasan berkenaan.

Langkah Australia itu dilihat menuruti langkah yang telah diambil Sweden, Suruhanjaya Eropah dan Kanada, mengembalikan semula pembiayaan kepada agensi berkenaan.

Semasa pertemuan dua hala antara kedua-dua pemimpin menjelang sidang kemuncak ASEAN-Australia di Melbourne awal Mac, Anwar telah menggesa Albanese mengembalikan semula pembiayaan UNRWA di Gaza sebagai cara 'paling berkesan' untuk membantu orang awam.

Sementara itu berhubung gesaan Duta Besar Indonesia ke Malaysia Datuk Hermono supaya Malaysia mengkaji semula memorandum persefahaman (MoU) berhubung pengambilan pekerja sektor formal dari negara itu, Anwar berkata terdapat mekanisme tertentu dan proses biasa yang perlu dihormati.

Perdana Menteri berkata, beliau akan meminta Menteri Sumber Manusia Steven Sim membincangkan isu itu dengan rakan sejawatannya dari Indonesia.

Artikel Berkaitan:

"Sudah tentu duta besar boleh mengemukakan pandangan. Kita mempunyai hubungan baik dengan Indonesia, ia adalah negara yang sangat penting kepada kita dan rakan yang sangat rapat,” katanya.

Hermono memberitahu media tempatan di Malaysia bahawa antara isu yang memerlukan perhatian ialah keperluan kedutaan untuk menyelia proses pengambilan pekerja di Malaysia. - Bernama