Aishah merajuk, keluar rumah selepas selisih faham dengan keluarga

Nurul Aishah Abdullah.
Nurul Aishah Abdullah.
A
A
A

PUTRAJAYA - Merajuk dan perselisihan faham dengan ahli keluarga dipercayai punca seorang wanita melarikan diri dari rumah.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, wanita dikenali sebagai Nurul Aishah Abdullah, 20, dilaporkan hilang dari rumah di Dwiputra Residensi, Presint 15, dekat sini pada 9 Mac lalu.

Beliau berkata, mangsa dipercayai keluar dari rumah jam 1 tengah hari pada hari kejadian.

Sehubungan itu kata beliau, pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk tampil membantu siasatan.

"Siasatan awal, dipercayai kehilangan Nurul Aishah ini berlaku kerana merajuk dan berselisih faham dengan ahli keluarga.

"Untuk itu, pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini untuk memberi kerjasama dan membantu siasatan," katanya pada Sabtu.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya mengklasifikasikan kejadian tersebut sebagai kes orang hilang.

Terdahulu media melaporkan, Nurul Aishah keluar rumah selepas berlaku perselisihan faham dengan ahli keluarga.

Artikel Berkaitan:

Ibunya, Nurul Izzah Lenny Abdullah Mathius, 43, berkata, anaknya keluar berjalan kaki pada hari kejadian dan tidak membawa kad pengenalan.

Malah menurutnya, Nurul Aishah juga tidak membawa bersama telefon bimbit, sehingga sukar untuk dihubungi.

Katanya, ahli keluarga berasa sangat bimbang dengan keselamatan Nurul Aishah kerana dia tidak mempunyai ramai kawan dan seorang yang pendiam.

Tambahnya lagi, semasa meninggalkan rumah, anaknya itu dipercayai tidak membawa pakaian dan duit secukupnya.

Jelasnya, perkara tersebut akan menyebabkan Nurul Aishah berada pada situasi sukar bagi meneruskan kehidupan di luar sana.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28