5.02 juta individu selesai kemas kini maklumat di Padu

Infografik yang dikongsikan di laman Facebook Padu.
Infografik yang dikongsikan di laman Facebook Padu.
A
A
A

SHAH ALAM - Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) merekodkan jumlah pengemaskinian maklumat individu seramai 5.02 juta daripada 30.08 juta rekod individu dalam sistem Padu, berdasarkan sumber data pentadbiran.

Padu dalam hantaran di laman Facebooknya berkata, rekod tersebut dicatat sehingga 15 Mac 2024 jam 11.59 malam.

"Tahniah diucapkan kepada rakyat Malaysia yang telah berjaya membuat pengemaskinian maklumat dalam sistem Padu.

"Tiga negeri yang mencatatkan jumlah pendaftar tertinggi adalah Selangor seramai 0.76 juta individu, diikuti Sarawak (0.63 juta) dan Johor (0.50 juta)," katanya pada Sabtu.

Pada 15 Mei 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju menubuhkan Padu untuk menggabungkan maklumat sosioekonomi setiap isi rumah bagi memperkemas pelaksanaan subsidi bersasar di negara ini.

Anwar berkata, Padu akan menyediakan semua maklumat yang diperlukan kerajaan dan diselenggara oleh Jabatan Perangkaan (DOSM).

Dalam perkembangan lain, Padu menafikan dakwaan berlaku pendedahan maklumat individu dari sistem itu.

"Sejak kebelakangan ini tular di media sosial dakwaan pendedahan maklumat individu dari sistem Padu. Dakwaan ini adalah tidak benar dan sistem Padu masih selamat.

Artikel Berkaitan:

"Padu sentiasa dipantau dengan rapi bagi menjamin keselamatan data rakyat. Rakyat diingatkan untuk tidak mudah terpedaya dengan info yang tidak sahih di media sosial," jelasnya.

Padu turut menasihati orang ramai untuk menukar kata laluan secara berkala sebagai langkah pencegahan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28