Mohd Na’im saran masjid selian Jakim anjur solat hajat untuk Palestin

Mohd Na'im
Mohd Na'im
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyarankan agar pihak pengurusan masjid dan surau di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) agar melaksanakan solat sunat untuk Palestin.

Mohd Na’im berkata, sempena Ramadan, umat Islam seluruh dunia perlu mengambil peluang untuk terus berdoa agar rakyat Palestin dilindungi.

Menurutnya, doa itu adalah senjata umat Islam dalam mendapat keredaan dan perlindungan daripada ALLAH SWT.

“​Lebih 30,000 rakyat Palestin telah terkorban, manakala lebih 73,000 cedera akibat kezaliman rejim Zionis Israel sejak Oktober lalu.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyeru seluruh rakyat termasuk masyarakat dunia untuk terus mengutuk tindakan Israel dan menggesa agar serangan tersebut dihentikan,” katanya dalam satu hantaran pada Sabtu.

Pada 10 Mac lalu, media antarabangsa melaporkan sejak bermulanya kempen pembunuhan beramai-ramai di Gaza pada 7 Oktober 2023, lebih 30,960 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita.

Menurut laporan itu, serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza telah mengakibatkan jumlah kecederaan mencecah 72,524 orang.

Angka kematian dijangka meningkat kerana ribuan penduduk dikhuatiri terbunuh di bawah runtuhan bangunan atau jasad mereka dibiarkan di jalan raya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Na’im menegaskan bahawa Malaysia tidak pernah berganjak dengan pendirian dalam menyuarakan hak Palestin untuk tidak lagi menjadi mangsa serangan rejim Zionis Israel.

Beliau berkata, ​Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyatakan sokongan penuh kepada ketegasan yang disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu Palestin ketika melakukan lawatan kerja rasmi di Jerman.

“Pendirian tegas tersebut wajar diberi pujian kerana ia memberi cerminan bahawa Malaysia amat serius dalam menentang kekejaman oleh pihak rejim Zionis Israel di bumi Palestin.

“Pendirian Malaysia ini telah berulang kali ditegaskan termasuk di pentas antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Penindasan terhadap rakyat Palestin di Gaza telah berlarutan puluhan tahun lamanya dan sejak itu Malaysia tidak berganjak dengan pendirian sama,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28