PATI Indonesia 'serah diri' sebab nak balik raya

Kennith
Kennith
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Imigresen (JIM) Negeri Sembilan menerima 787 permohonan pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi menyertai Program Repatriasi Migran (PRM) sejak 1 Mac lalu.

Pengarah JIM Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang, daripada jumlah tersebut, Indonesia mencatatkan bilangan paling tinggi iaitu 443 orang, termasuk 19 daripadanya merupakan kanak-kanak.

"Ia diikuti Bangladesh (118), India (74), Pakistan (45), Myanmar (42), Nepa l(30), Sri Lanka (22), Nigeria dan Filipina (3), Tanzania (2) dan China, Thailand, Vietnam, Yamen, Libya dan Lebanon (1).

“Kesemua PATI ini adalah mereka yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 bagi kesalahan tidak memiliki sebarang pas yang sah untuk berada di negara ini dan Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa," katanya pada sidang media di Pejabat Imigresen di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ampangan di sini pada Jumaat.

Menurutnya, hasil temu bual dengan PATI berkenaan, bukan kesemuanya dari Negeri Sembilan, sebaliknya datang berurusan di sini kerana pejabat Imigresen di tempat mereka penuh.

Tambahnya, warga Indonesia yang paling tinggi tampil 'menyerah diri' kemungkinan disebabkan ramai yang ingin pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri.

"Saya berharap lebih ramai PATI yang mengambil kesempatan ini untuk pulang ke negara asal mereka bagi elak dikenakan pendakwaan sekiranya ditangkap.

"Syaratnya perlu ada dokumen pengenalan diri yang sah dan memiliki tiket perjalanan pulang ke negara asal yang tidak melebihi 14 hari dari tarikh datang ke pejabat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK 2.0) pula, beliau berkata, setakat ini, hanya 65 peratus majikan yang tampil melakukan proses verifikasi terhadap pekerja asing mereka.

Ujarnya, majikan diharap peka mengenainya kerana program berkenaan akan tamat pada 31 Mac ini.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28