Budak lelaki melecur akibat kebakaran

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA PERLIS - Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun melecur pada bahagian belakang badan, tangan kiri dan kedua-dua kaki akibat kebakaran membabitkan dua rumah di Kampung Seberang Alur di sini petang Jumaat.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis, Penguasa Bomba Norazwan Hashim berkata, kanak-kanak itu yang melecur pada tahap 30 hingga 40 peratus kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 5.15 petang dan jentera bomba tiba di lokasi enam minit kemudian.

"Rumah pertama musnah 90 peratus manakala rumah kedua musnah 60 peratus. Api dapat dikawal sepenuhnya pada 5.54 petang," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Menurut Norazwan, berdasarkan maklumat awal, kejadian dipercayai bermula dari bahagian dapur rumah pertama sebelum merebak ke rumah kedua, namun kepantasan pihak bomba mengawal api dapat menghalang kebakaran merebak ke rumah lain.

"Di rumah pertama terdapat tiga kanak-kanak termasuk kanak-kanak yang melecur itu manakala rumah kedua tiada penghuni ketika kejadian berlaku," katanya.

Beliau berkata, operasi pemadaman melibatkan 40 anggota bomba dan punca kejadian serta nilai kerugian masih disiasat. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: