X

Kindly register in order to view this article
!

PRK Kimanis: Warisan tidak janji 'bulan, bintang'

Beberapa petugas kempen parti memasang bendera kempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis di Pekan Kimanis hari ini. - Foto Bernama
A
A

KIMANIS - Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak menjanjikan ‘bulan dan bintang’ sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis yang sedang berlangsung sekarang, sebaliknya menerangkan hala tuju dan perancangan kerajaan negeri demi pembangunan rakyat dan Sabah.

Timbalan Presidennya, Datuk Jaujan Sambakong berkata, sebagai parti pemerintah, Warisan merangka pelbagai inisiatif sepanjang tempoh lebih setahun mentadbir Sabah merangkumi sektor perindustrian dan pendidikan yang turut menitikberatkan kemaslahatan rakyat, termasuk di Kimanis.

“Sejak Warisan mengambil alih kerajaan Sabah, kita sudah ada perancangan dalam pelbagai sektor yang menjurus kepada pembangunan ekonomi dan modal insan termasuk usaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Kita tidak ada janji baharu (pada PRK Kimanis) sebab kita mahu manifesto Warisan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) direalisasikan. Kita sedang menyusun semula pentadbiran kerajaan Sabah bagi memperkasa lagi sistem penyampaian perkhidmatan demi kesejahteraan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas program bertemu rakyat di Kampung Bandau, Membakut, dekat sini Jumaat malam.

Mengulas lanjut, Jaujan yakin Warisan mampu meraih kemenangan pada PRK Kimanis berdasarkan sokongan rakyat di kawasan itu yang semakin meningkat sejak gerak kerja kempen dimulakan selepas proses penamaan calon pada 4 Januari lepas.

“Kita cukup yakin kestabilan kerajaan hari ini tidak akan tergugat. Kita akan teruskan perkhidmatan kepada rakyat kerana pada PRU14, rakyat sudah pun memberi mandat untuk menukar kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“UMNO dan BN sudah ditolak rakyat pada PRU14 kerana mereka gagal melaksana tanggungjawab ketika berkuasa di Sabah,” kata Jaujan yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya Warisan pada pilihan raya kecil berkenaan.

Beliau bagaimanapun mengingatkan jentera parti supaya terus menyusun strategi menambat hati rakyat Kimanis untuk menyokong seterusnya mengundi calon Warisan, Datuk Karim Bujang pada 18 Januari ini.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Karim dan calon BN, Datuk Mohamad Alamin.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 18 Januari dan hari pengundian awal pada 14 Januari. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!