Tetap bergegas ke lokasi walaupun masuk waktu berbuka

Mohd Iqmal (dua dari kanan) menyampaikan bubur lambuk kepada Rohaizad (tiga dari kiri) pada Khamis.
Mohd Iqmal (dua dari kanan) menyampaikan bubur lambuk kepada Rohaizad (tiga dari kiri) pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Tugas dan tanggungjawab diharungi oleh pasukan keselamatan beruniform seperti polis dan bomba amat mencabar lebih-lebih lagi ketika menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan.

Perkara sama turut dirasai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertugas dalam operasi menyelamat seperti kemalangan dan menangkap haiwan berbisa termasuk ular atau biawak.

Tuntutan tugas ketika kecemasan menyebabkan mereka berbuka puasa dalam keadaan ala kadar demi mengutamakan dan menjaga keselamatan awam.

Staf Muda APM Kota Bharu, Rohaizad Mamat berkata, hampir setiap hari terdapat tugasan menyelamat dan kerja-kerja menjadi lebih mencabar ketika cuaca panas terik ketika ini serta menahan lapar dan dahaga kerana berpuasa.

Rohaizad
Rohaizad

“Kebiasaannya, apabila mendapat panggilan kecemasan tidak kira waktu berbuka atau menghampiri azan Maghrib, kami akan bergegas ke lokasi kejadian.

“Jika panggilan itu berkaitan kehadiran ular dalam rumah, kami perlu ke lokasi dan menangkap ular dengan segera, manakala berbuka puasa mungkin hanya sempat minum seteguk air atau kurma terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui pada Program Agihan Bubur Lambuk oleh Perdana Kota Bharu di sini pada Khamis.

Program tanggungjawab sosial korporat itu dianjurkan Bersama Padiberas Nasional Berhad (Bernas).

Artikel Berkaitan:

Menurut Rohaizad, petugas-petugas keselamatan biasanya akan menyelesaikan tugas mereka terlebih dahulu sebelum dapat menikmati makanan yang dibeli untuk berbuka.

Mohd Iqmal (kiri) menyerahkan bungkusan bubur lambuk kepada polis yang diwakili Timbalan Ketua Polis Balai Kota Bharu, Sub Inspektor Nasaruddin Shamsulaman (dua dari kanan).
Mohd Iqmal (kiri) menyerahkan bungkusan bubur lambuk kepada polis yang diwakili Timbalan Ketua Polis Balai Kota Bharu, Sub Inspektor Nasaruddin Shamsulaman (dua dari kanan).

Sementara itu, Pengurus Besar Perdana Kota Bharu, Mohd Iqmal Muslim berkata, program agihan bubur lambuk tersebut diadakan setiap tahun pada Ramadan namun kelainan yang dibawakan kali ini ialah meraikan anggota keselamatan beruniform, paramedik dan kakitangan masjid.

Menurut beliau, sebanyak 1,000 bekas bubur lambuk diagihkan termasuk kepada anggota APM, polis dan bomba.

“Kami prihatin terhadap cabaran penugasan pasukan keselamatan dan paramedik dalam menjaga keselamatan orang ramai.

“Sumbangan bubur lambuk ini sebagai tanda penghargaan terhadap kesungguhan dan komitmen mereka kepada masyarakat sepanjang bulan Ramadan,” katanya.

Beliau dalam pada itu menambah, sepanjang Ramadan pihaknya menawarkan bufet Souq Ramadan: Citarasa Serantau bermula pada 13 Mac lalu hingga 9 April ini dengan pelbagai menu istimewa hidangan berbuka puasa seperti nasi bukhara buluh, mentarang masak lemak, aneka kerabu, sup dan kuih-muih pada harga RM118 seorang.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28