Dugaan berpanas semasa puasa

Cuaca panas dan kering melanda negara ketika ini. (Gambar hiasan)
Cuaca panas dan kering melanda negara ketika ini. (Gambar hiasan)
A
A
A

Memasuki hari keempat Ramadan, tidak dapat dinafikan ia agak mencabar bagi umat Islam lebih-lebih lagi berpuasa dalam keadaan cuaca panas membahang.

Malah, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Khamis telah mengeluarkan amaran cuaca panas tahap berjaga-jaga di 10 kawasan Semenanjung Malaysia dan satu di Sarawak.

Antara kawasan di Semenanjung Malaysia yang terlibat ialah Perlis, Kedah (Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling ); Hulu Perak, Perak dan Raub, Pahang, manakala di Sarawak pula melibatkan Limbang.

Menurut MetMalaysia, suhu panas tahap berjaga-jaga dikategorikan apabila suhu maksimum harian sesuatu kawasan itu mencecah 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Di Sabah, keadaan lebih buruk apabila daerah Papar diisytiharkan sebagai kawasan bencana kemarau bermula Rabu berikutan krisis bekalan air akibat kemarau yang melanda kawasan tersebut sejak beberapa minggu lalu.

Ia menyebabkan penduduk di situ yang terputus bekalan air memohon pihak berkaitan seperti Jabatan Bekalan Air Negeri Sabah (JANS) menyalurkan bekalan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu bagi membantu melancarkan urusan harian mereka.

Imam Kariah Daerah Papar, Saidi Moksin berkata, ia penting kerana tidak ramai penduduk terutama di kawasan kampung yang mempunyai tangki air saiz besar dan hanya menyimpan air dalam tangki air kecil, tong, besen serta baldi untuk keperluan harian.

Sementara Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak pula memaklumkan menerima tujuh kes berkaitan cuaca panas sehingga Khamis.

Artikel Berkaitan:

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, daripada jumlah itu tiga kes merupakan strok haba manakala empat lagi mengalami kelesuan haba.

Ini adalah sebahagian daripada kisah masyarakat yang diduga dengan fenomena El Nino yang melanda negara ketika ini.

Sebagai rakyat, tentunya kita mengharapkan kerajaan mempunyai rancangan dan penyelesaian terbaik jika cuaca lebih panas dan kering ini berpanjangan agar rakyat tidak terkesan teruk.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28