Bazar Ramadan Bulatan Azlan Shah terpanjang di Perak

Bazar Ramadan Bulatan Sultan Azlan Shah di Meru Raya, Ipoh sepanjang 500 meter menjadi bazar terpanjang di Perak. Foto Bernama
Bazar Ramadan Bulatan Sultan Azlan Shah di Meru Raya, Ipoh sepanjang 500 meter menjadi bazar terpanjang di Perak. Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Bazar Ramadan Bulatan Sultan Azlan Shah (BSAS) di Meru Raya di sini yang menjual pelbagai jenis juadah berbuka puasa sepanjang 500 meter menjadi bazar terpanjang di Perak.

Bazar anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) itu menyediakan ruang perniagaan kepada 100 peniaga yang menjual pelbagai menu antaranya Nasi Vanggey, Royal Popiah Kuala Kangsar, Nasi Ayam Taugeh Las Vegas, Sloopyan Hot Dog, Ayam Goreng Kamiez, Bihun Sup Kedah dan pelbagai jenis minuman.

Timbalan Ketua Eksekutif (Perhubungan Korporat) PKNPk, Nurdita Fadzlinda Ahmad Rasidi berkata, inisiatif berkenaan selaras dengan aspirasi kerajaan negeri melalui Perak Sejahtera 2030 untuk memberi peluang dan galakan kepada usahawan kecil dan sederhana mencari sumber pendapatan dengan menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan.

"Pada tahun lepas, PKNPk melantik syarikat pengurusan acara bagi mengendalikan bazar Ramadan tersebut dan berjaya menarik 50,000 pengunjung.

"Bertitik tolak dari kejayaan tahun lepas, pada tahun ini ia dianjurkan sepenuhnya PKNPk melalui Bahagian Aset dan Pentadbiran. PKNPk telah membuat beberapa penambahbaikan bagi memastikan keselesaan buat para pengunjung,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Nurdita Fadzlinda berkata, PKNPk menyediakan ruang yang lebih luas kepada peniaga dengan keluasan saiz 3 x 6 meter persegi dengan kadar sewa antara RM1,500 hingga RM2,500.

Beliau berkata, susun atur Bazar Ramadan BSAS pada tahun ini juga lebih selesa untuk para pengunjung khususnya laluan pejalan kaki yang lebar selain kemudahan parkir mencukupi.

"BSAS juga merupakan lokasi pilihan kepada trend berbuka gaya berkelah dalam kalangan orang ramai setiap tahun. Trend berbuka secara santai ini telah menjadi tular pada tahun lepas,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bazar Ramadan BSAS itu beroperasi setiap hari bermula 3 petang hingga 11 malam bermula 12 Mac lepas hingga 9 April depan. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!