Perlis United nafi tarik diri bertanding Liga Super

PUFC menafikan kenyataan bahawa kelab itu menarik diri daripada bertanding Liga Super musim ini kerana faktor kewangan.
PUFC menafikan kenyataan bahawa kelab itu menarik diri daripada bertanding Liga Super musim ini kerana faktor kewangan.
A
A
A

PERLIS United FC (PUFC) menafikan kenyataan bahawa kelab bola sepak itu menarik diri daripada bertanding dalam Liga Super musim ini kerana faktor kewangan.

Ketua Pegawai Eksekutif PUFC, Rozailmee Zulkeply turut menegaskan bahawa pihaknya tidak mempunyai sebarang permusuhan dengan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

“Kami di PUFC menafikan sebarang bentuk kenyataan sebegini. Ingin kami tegaskan bahawa kami tidak ada sebarang permusuhan bersama YAB Menteri Besar.

“Berita ini hanya ingin mensensasikan portal berita mereka sahaja. Jika benar, sila umumkan siapa sumber dalaman yang dimaksudkan,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook beliau pada Khamis.

Laporan portal berita itu antaranya mendakwa PUFC memilih untuk melakukan pusing U dan menarik diri daripada menyertai Liga Super dan mereka telah menghantar surat kepada pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dengan menyatakan hasrat menarik diri daripada menjadi kelab Liga Super kerana faktor kewangan.

Sementara itu, Rozailmee dalam satu lagi hantaran dalam laman Facebook itu memaklumkan sekiranya PUFC menarik diri mereka akan membuat kenyataan rasmi.

Namun menurutnya, pada masa ini pihaknya masih lagi berusaha melengkapkan empat syarat tambahan seperti diminta MFL sebelum layak menerima lesen luar biasa (extraordinary license).

"Jika ada yang nak bantu silakan, kalau tak mohon doakan yang baik-baik," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28