7 kes strok haba, kelesuan haba dicatat di Perak

Gambar hiasan. Foto Bernama
Gambar hiasan. Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak menerima tujuh kes berkaitan cuaca panas sehingga 14 Mac.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, daripada jumlah itu tiga kes merupakan strok haba manakala empat lagi mengalami kelesuan haba.

"Lima kes pertama merupakan anggota polis yang mengikuti Ujian Mara Lasak Jabatan KDNKA di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta pada 14 Februari 2024.

"Mereka yang terlibat mengalami gejala dehidrasi dan pengsan, serta seorang daripadanya mengalami sawan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Operasi Keselamatan Makanan Sempena Bulan Ramadan Peringkat Negeri Perak di Bazar Ramadan Stadium Perak di sini pada Khamis.

Sivanesan berkata, seramai lebih 600 anggota terlibat dalam aktiviti fizikal itu yang merangkumi trek larian sejauh 20 kilometer (km) dan membawa bebanan seberat 12 kilogram (kg).

Katanya, kesemua kes telah dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), yang mana empat kes sembuh dan seorang mempunyai komplikasi serangan sawan.

Sivanesan (kiri) menunjukkan sampel makanan yang diambil dari gerai di Bazar Ramadan Stadium Perak di Ipoh sempena Majlis Pelancaran Operasi Keselamatan Makanan Sempena Bulan Ramadan Peringkat Negeri Perak.
Sivanesan (kiri) menunjukkan sampel makanan yang diambil dari gerai di Bazar Ramadan Stadium Perak di Ipoh sempena Majlis Pelancaran Operasi Keselamatan Makanan Sempena Bulan Ramadan Peringkat Negeri Perak.

Sementara itu bagi kes keenam merupakan anggota polis PGA yang mengalami strok haba semasa menjalani Combat Run sejauh 12km.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, satu lagi kes melibatkan kelesuan haba merupakan seorang tentera udara yang sedang menjalani latihan senaman dan membawa bebanan 10kg di Kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini.

"Kedua-dua mereka mendapat rawatan di HRPB dan sembuh tanpa komplikasi.

"Punca kejadian strok haba dan kelesuan haba ini adalah disebabkan oleh aktiviti fizikal di luar bangunan semasa cuaca terik.

"JKN Perak telah memberi khidmat nasihat kepada PGA dan TUDM mengenai penyakit berkaitan haba kepada semua anggota," katanya.

Sivanesan berkata, pihak JKN Perak turut mencadangkan agar kawad diadakan bukan pada waktu terik matahari selain menyediakan pasukan bertindak keselamatan semasa latihan kawad dijalankan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28