Cuaca panas: Dua kes kelesuan haba direkod di Sabah

Cuaca panas dan kering melanda. Gambar hiasan
Cuaca panas dan kering melanda. Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) merekodkan dua kes kelesuan haba berlaku akibat cuaca panas dan kering yang melanda negeri ini bagi tempoh 1 Januari hingga 13 Mac.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Asits Sanna berkata, kedua-dua kes itu dilaporkan di daerah Beaufort pada Minggu Epidemiologi Empat dan 11.

"Kes kelesuan haba pertama dilaporkan melibatkan seorang lelaki berusia 50 tahun yang mengalami simptom kelesuan haba ketika melakukan kerja menebang pokok dan telah mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Kerajaan pada 22 Januari 2024 untuk rawatan serta dibenarkan pulang pada hari yang sama dan telah sembuh.

"Kes kedua dilaporkan melibatkan seorang pelajar lelaki berumur 18 tahun yang mengalami simptom kelesuan haba ketika mengikuti pertandingan bola sepak.

"Pelajar itu telah mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Kerajaan pada 9 Mac 2024 dan telah dirawat serta dibenarkan pulang pada hari yang sama dan telah sembuh," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau dalam pada itu memaklumkan, JKNS tidak menerima sebarang kes kekejangan haba dan strok haba dalam tempoh yang sama.

"Kes patukan ular juga tiada dilaporkan sepanjang pemantauan cuaca panas di negeri Sabah sehingga 13 Mac 2024," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28