Solari jurulatih baharu Everton di Chile

Solari. Foto FB Johor Southern Tigers
Solari. Foto FB Johor Southern Tigers
A
A
A

BEKAS pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari dinamakan sebagai jurulatih baharu kelab Chile, Everton de Vina del Mar.

Pelantikan pengendali berusia 43 tahun itu dimaklumkan oleh kelab tersebut menerusi satu hantaran di platform media sosial rasmi pasukan pada Khamis.

Solari menggantikan bekas jurulatih sebelumnya, Francisco Meneghini yang dipecat selepas Everton tewas kepada Union La Calera dalam pusingan pertama Copa Sudamericana minggu lepas.

“Ahli strategi Argentina dan bekas pemain bola sepak, Esteban Andres Solari ialah jurulatih Los Oro y Cielo yang baharu untuk musim 2024.

“Tano (Solari) tiba di Everton de Vina del Mar selepas kempen yang sempurna bersama JDT. Beliau memenangi semua empat kejohanan dengan prestasi cemerlang.

“Tano bernafas dan menghidupkan bola sepak sejak dilahirkan kerana dia serta keluarganya telah memiliki hubungan dengan bola sepak sebagai pemain dan jurulatih.

“Kepada Tano dan barisan jurulatih, kami mengalu-alukan juara Liga Super dan mendoakan kejayaan terbaik beliau bersama pasukan ini,” catat kelab dalam satu kenyataan.

Solari dijangka mengemudi pasukan buat kali pertama apabila Everton menanti kunjungan Nublense pada hujung minggu ini.

Artikel Berkaitan:

Bekas pengendali Argentina Bawah 23 Tahun (B-23) itu akan dibantu penolong jurulatih Emerson Panigutti, jurulatih kecergasan, Rodrigo Barrios dan penganalisis, Matias Navarro Garcia.

Everton ketika ini menghuni tangga kesembilan Divisyen Primera Chile setelah mengutip empat mata.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28