X

Kindly register in order to view this article
!

Tutup agensi media tak selesai masalah

Chamil Wariya
A
A

SHAH ALAM - Tindakan menutup organisasi media cetak atau dalam talian yang memainkan isu sentimen agama dan kaum adalah tidak wajar kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya berkata, jika perkara itu dilakukan terutamanya pada zaman sekarang, ia tidak akan memberi apa-apa impak positif.

Beliau berkata, sebaliknya apa yang penting untuk dilakukan pada ketika ini ialah dengan mendidik pemimpin editorial media termasuk media dalam talian supaya mereka lebih memahami sifat-sifat kebangsaan Persekutuan Malaysia.

"Sifat-sifat kebangsaan itu terpancar dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai kedudukan orang Melayu, kedudukan bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi, kedudukan agama Islam dan juga di dalam Rukun Negara.

"Sekiranya pemimpin media boleh memahami dan menghayati semangat kebangsaan Malaysia itu serta tidak terlalu memberi pertimbangan kepada kepentingan sempit iaitu jati diri (kaum) diwakili, pasti isu mengapi-apikan sentimen agama dan kaum itu tidak berlaku," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Menurutnya, media boleh membuang dan menapis cerita-cerita atau peristiwa yang mengapikan perkauman umpamanya jika benar-benar faham perkara tersebut.

"Mereka hanya akan ambil bahagian yang ingin diperjuangkan dan ditulis dengan cara berhemah. Jadi apabila disiarkan, berita itu lebih seimbang dan langsung tidak memaparkan sentimen perkauman," katanya.

Chamil bagaimanapun mengakui, bukan mudah untuk menangani isu sentimen agama, kaum, budaya termasuk bahasa.

"Kita ambil contoh di Indonesia, penggunaan bahasa Indonesia sebagai bahasa kebangsaan sudah diterapkan dari awal walaupun secara paksaan. Mereka juga tak benarkan sekolah pelbagai hanya sekolah kebangsaan dan ia terbukti menjadi apabila rakyat pelbagai kaum di sana berbahasa Indonesia dalam semua urusan.

"Berlainan pula di Malaysia, sejak tahun 1957 penggunaan bahasa ibunda dibenarkan di sekolah-sekolah jenis kebangsaan dan selepas 60 tahun, kita nak ubah sudah tentu sukar. Tambahan lagi, ia dilihat sebagai hak mereka dan sekarang mahu diarusperdanakan pula," katanya.

Katanya, media harus bijak main peranan agar lebih bertanggungjawab serta melakukan pengorbanan dengan menyisihkan elemen-elemen keterlaluan seperti sentimen perkauman dalam setiap berita dilaporkan dan bukan mensensasikan atau mengapi-apikan lagi masalah yang ada.

Chamil turut mengingatkan pemimpin kerajaan Pakatan Harapan untuk menilai semula diri kerana rata-ratanya dilihat masih berfikir mengikut kotak-kotak politik parti yang mereka wakili.

Beliau berkata, sebagai contoh parti Bersatu kononnya dilihat mewakili kepentingan Melayu dan DAP mewakili kepentingan orang Cina.

"Pemimpin parti-parti itu masih berfikir dalam konteks 'zero sum game.' Contohnya, jika kita katakan DAP mengalah tentang isu jawi, ia akan dilihat sebagai kekalahan kepada orang Cina, begitu juga Bersatu enggan melawan DAP sebab takut atau terlalu bergantung kepada parti itu demi kerusi Parlimen.

"Masing-masing diikat dan terikat dengan kepentingan parti masing-masing. Sepatutnya selepas membentuk kerajaan, perlu ada kata sepakat terutamanya pengorbanan dalam isu kaum yang perlu dibuat demi menjamin masa depan negara dan perkara itu perlu dijelaskan kepada penyokong parti masing-masing kenapa ia harus dilakukan," katanya.

Chamil berkata, pemimpin kerajaan perlu mencari kaedah baharu di mana mereka boleh berfikir mengatasi kepentingan kelompok masing-masing dan jika itu boleh dilakukan, jalan untuk ke depan pasti lebih mudah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf