Banglo 99 pintu: Pemilik diarah baiki ikut prosedur warisan

Kren yang digunakan dalam pembikinan filem tumbang dan menimpa banglo 99 pintu pada Jumaat lalu. Gambar kecil: Mooi Lye
Kren yang digunakan dalam pembikinan filem tumbang dan menimpa banglo 99 pintu pada Jumaat lalu. Gambar kecil: Mooi Lye
A
A
A

GEORGE TOWN - Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengarahkan pemilik banglo 99 pintu di Jalan Byram, Nibong Tebal supaya memperbaiki kediaman tersebut mengikut semua prosedur dan peraturan warisan yang ditetapkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, H'ng Mooi Lye berkata, arahan itu dibuat menerusi satu surat yang diserahkan MBSP kepada pemilik berkenaan selepas kejadian kren digunakan produksi filem dilaporkan tumbang pada Jumaat, sehingga menimpa banglo berkenaan.

Menurutnya, pihak berkuasa termasuk polis tidak dapat memasuki ke kawasan banglo tersebut berikutan ia merupakan kawasan persendirian selain pintu pagarnya telah dikunci.

"Saya telah mengarahkan MBSP untuk turun padang bagi menyiasat malah polis juga turut serta, namun pintu pagar banglo tersebut telah ditutup sebab ia merupakan kawasan persendirian, jadi kita tidak boleh menceroboh untuk masuk ke kawasan itu.

"Bagaimanapun, saya sudah mengarahkan MBSP supaya mengeluarkan surat kepada pemilik supaya mengikut semua peraturan dan prosedur warisan ketika memperbaiki bangunan berkenaan.

"Bangunan ini tidak didiami oleh sesiapa termasuk pemiliknya.

"Ia dikelilingi ladang kelapa sawit, namun pintu pagarnya sentiasa berkunci untuk mengelakkan mana-mana pihak memasukinya," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri, Komtar di sini pada Khamis.

Jumaat lalu, Sinar Harian melaporkan sebuah kren yang dipercayai digunakan oleh produksi filem dilaporkan tumbang dan menimpa banglo 99 pintu yang terletak di Jalan Byram.

Artikel Berkaitan:

Kejadian itu menyebabkan struktur bumbung dan dinding rumah agam yang dipercayai dibina pada awal kurun ke-19 itu runtuh.

Beberapa keping gambar insiden terbabit mula tular di media sosial sejak petang Jumaat lalu dan mengundang pelbagai reaksi netizen berikutan banglo tersebut sebelum ini dikaitkan dengan misteri selain pelbagai kisah tersendiri.

Empat tahun lalu, media melaporkan banglo usang itu tiba-tiba terbakar tanpa diketahui punca hingga mengakibatkan 70 peratus struktur kayu alang dan lantai musnah.

Dalam pada itu, Mooi Lye berkata, bangunan banglo yang mempunyai 99 pintu itu adalah salah sebuah bangunan yang telah disenaraikan dalam bangunan warisan di Seberang Perai pada 2015, namun ia belum diwartakan sebagai bangunan warisan.

"Jabatan Pelancongan, Seni dan Warisan MBSP pernah mengemukakan permohonan untuk menyenaraikan bangunan tersebut sebagai bangunan warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan.

"Bagaimanapun, bangunan tersebut belum boleh melalui proses pewartaan sebagai bangunan warisan kerana permohonan untuk pewartaan adalah perlu dibuat oleh pemilik bangunan tersebut," katanya lagi.

Jelas Mooi Lye, banglo 99 pintu itu adalah milikan persendirian yang mana pemiliknya belum membuat permohonan untuk diwartakan sebagai bangunan warisan.

"Pemilik banglo tersebut sehingga ke hari ini masih belum buat sebarang permohonan untuk diwartakan sebagai bangunan warisan walaupun dalam senarai MBSP, ia disenaraikan sebagai bangunan warisan.

"Sebenarnya jika pemilik ada inisiatif untuk mengazetkannya sebagai bangunan warisan, dia perlu mengisi permohonan itu kepada MBSP," katanya.

Difahamkan, banglo itu dibina oleh seorang ahli perniagaan British dikenali sebagai Ramsden di tengah ladang kelapa sawit dengan seni bina Inggeris lengkap 10 bilik, dewan tari, ruang tamu dan ia mendapat jolokan Rumah 99 Pintu kerana susunan lima hingga enam pintu di setiap bilik.

Kisah rumah itu mula mendapat perhatian apabila pada 1948, cucu kepada pemilik banglo itu dikatakan telah dibunuh secara kejam.

Menurut kisah yang popular dalam kalangan penduduk tempatan, mangsa dikenali sebagai John St Maur Ramsden telah ditembak tepat di kepalanya sebanyak dua kali dan mati serta-merta.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28