Israel bedil gudang bekalan makanan UNRWA

Kemudahan itu mengedarkan bekalan makanan yang sangat diperlukan dan barangan penting lain kepada penduduk yang hilang tempat tinggal di selatan Gaza. Foto AFP
Kemudahan itu mengedarkan bekalan makanan yang sangat diperlukan dan barangan penting lain kepada penduduk yang hilang tempat tinggal di selatan Gaza. Foto AFP
A
A
A

KHAN YUNIS - Rejim Zionis bertindak zalim lagi apabila Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia Barat (UNRWA) mendakwa salah sebuah gudang mereka dibedil ketika usaha penghantaran bekalan makanan sedang giat dilakukan ke Genting Gaza.

“Kami mengesahkan pusat pengagihan di tengah Rafah menjadi sasaran serangan udara tentera Israel.

“UNRWA menggunakan kemudahan ini untuk mengedarkan bekalan makanan yang sangat diperlukan dan barangan penting lain kepada penduduk yang hilang tempat tinggal di selatan Gaza,” tegas jurucakapnya, Juliette Touma pada Rabu.

Menurutnya, lebih 20 termasuk seorang kakitangan mereka terkorban dalam insiden yang jelas mencemari kesucian bulan Ramadan.

Sejak 158 hari lalu, angka korban kekejaman rejim Zionis telah mencecah lebih 31,272 orang dan kebanyakannya ialah wanita dan kanak-kanak.

Selain itu, hampir 100 lagi kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam ketika rejim Zionis turut menggunakan krisis kelaparan sebagai 'senjata perang'.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dalam satu kenyataan memaklumkan serangan kini dipertingkatkan di bahagian selatan Gaza termasuk di bandar terbesar, Khan Yunis ketika penduduk Gaza sedang berpuasa dalam keadaan serba daif.

Bekalan makanan di Gaza juga semakin berkurangan selepas perang ganas itu berlarutan selama lebih lima bulan.

Artikel Berkaitan:

Kementerian Kesihatan di enklaf tersebut mengesahkan jumlah kematian akibat malnutrisi dan dehidrasi telah meningkat kepada 27 orang dan sebahagian besarnya ialah kanak-kanak.

Di utara Gaza, krisis kebuluran dikatakan semakin membimbangkan selepas rejim Tel Aviv menyekat akses bantuan kemanusiaan ke kawasan itu.

Penduduk di Kem Jabalia, Fahd al-Ghoul berkata, mereka sudah 'berpuasa' selama lebih dua bulan.

“Kini sudah memasuki Ramadan, tiada apa yang berubah malah semakin teruk,” ujar lelaki berusia 50 tahun itu dalam nada sedih.

Sementara itu, Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell menyuarakan rasa khuatir terhadap situasi kemanusiaan di Gaza.

Beliau berpendapat rejim Zionis sengaja menggunakan kelaparan sebagai 'senjata perang' selepas kedudukan pasukan yang terlibat operasi di wilayah tersebut dipercayai semakin lemah.

Borrell turut mengutuk 'malapetaka buatan manusia' yang mencetuskan krisis makanan secara berterusan di Gaza.

“Penduduk Gaza tidak lagi dapat menanggung penderitaan ini. Kelangsungan hidup populasi Palestin semakin terancam dek kemusnahan berskala besar dan secara sistematik di enklaf berkenaan,” jelas diplomat tertinggi blok Eropah tersebut.

Tambahnya, agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seperti Pejabat untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Program Makanan Sedunia (WFP) dan UNRWA kini menjadi 'talian hayat terakhir' buat penduduk Gaza yang turut menjadi sasaran bedilan rejim Zionis. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!