Tak wajar isu kantin sekolah, bak kut teh jadi isu perkauman - Gerakan

Chai Ko Thing
Chai Ko Thing
A
A
A

SHAH ALAM - Isu kantin sekolah dibuka sepanjang Ramadan dan pengiktirafan bak kut teh sebagai makanan warisan negara tidak wajar dimainkan sebagai satu isu perkauman yang melampau.

Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) kesal terhadap sesetengah pihak terbabit kerana memainkan isu tersebut sebagai isu perkauman yang boleh mencetuskan ketegangan dalam agenda perpaduan negara.

Ketua Biro Hak Asasi Manusianya, Chai Ko Thing menegaskan, Malaysia perlu bergerak ke hadapan dan pemimpin tidak boleh sesekali berpandangan tempang serta tidak menghormati perpaduan dibina selama ini.

Ko Thing juga mengingatkan bahawa ahli politik tidak sepatutnya mengapi-apikan isu seperti kantin sekolah beroperasi semasa bulan puasa.

“Saya rasa perkara ini amat jelas, hormat menghormati, 'cetek' kalau kita minta yang bukan Islam untuk tidak makan di kantin," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Gerakan turut mengingatkan semua pihak, tidak kira rakan gabungan parti itu atau pemimpin parti pemerintah bahawa perpaduan adalah tanggungjawab bersama dan jangan asyik mengambil pendekatan boleh mewujudkan kebencian dalam kalangan masyarakat.

Gerakan sehubungan itu menyarankan parti politik dari mana-mana pihak supaya mengutamakan kepentingan ekonomi dan keharmonian negara dalam menghadapi dunia yang semakin mencabar ini.

Ujarnya, ini kerana Perlembagaan Persekutuan menjamin kedudukan dan kebebasan keagamaan dan Rukun Negara pula mengingatkan kita akan taat setia kepada sebuah negara Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

"Adalah kurang bijak bagi ahli politik menggunakan perkara-perkara remeh dan berbau perkauman dalam menjana publisiti politik.

“Adalah baik untuk rakyat dan negara, jika pemimpin politik menjana segala kebijaksanaanya dalam memacu keseragaman dan pembangunan negara dan kita sudah hampir tujuh dekad Merdeka, kalau masih nak memainkan perkauman, kita akan ketinggalan jauh,” ujarnya lagi.