Barangan kontraban, judi, bitcoin lebih RM700,000 dilupus

Hoong Fong (tengah) menggunakan jengkaut memusnahkan rokok seludup dalam Majlis Pelupusan Barang Kes dekat IPD Klang Selatan, pada Khamis.
Hoong Fong (tengah) menggunakan jengkaut memusnahkan rokok seludup dalam Majlis Pelupusan Barang Kes dekat IPD Klang Selatan, pada Khamis.
A
A
A

KLANG - Sebanyak 7,339 barangan melibatkan peralatan perjudian, rokok, mesin bitcoin dan pelbagai kes am bernilai lebih RM700,000 dilupuskan dekat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, keseluruhan barangan dilupuskan itu merupakan hasil rampasan yang dijalankan menerusi operasi pada 2023 melibatkan 154 kertas siasatan.

Hoong Fong (kiri) menunjukkan antara peralatan dirampas dalam Majlis Pelupusan Barang Kes dekat IPD Klang Selatan, pada Khamis.
Hoong Fong (kiri) menunjukkan antara peralatan dirampas dalam Majlis Pelupusan Barang Kes dekat IPD Klang Selatan, pada Khamis.

"Antara dilupuskan adalah 2026 unit barang kes perjudian,4443 barang kes kontraban, 837 unit barang kes bitcoin dan 33 unit barang kes am melibatkan nilai lebih RM700,000.

"Pelupusan yang dibuat ini adalah hasil usaha Polis Klang Selatan yang sentiasa berusaha mengekang aktiviti perjudian, kontraban dan perlombongan mata wang kripto berdasarkan operasi dijalankan sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di selepas Majlis Pelupusan Barang Kes di IPD Klang Selatan, di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Hoong Fong berkata, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan melaksanakan sebanyak 296 serbuan dan tangkapan seramai 362 individu atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 pada 2023.

"Bagi kesalahan bawah Akta Kastam 1967, sebanyak lapan serbuan dibuat melibatkan tangkapan seramai 13 orang dijalankan pada tahun sama.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, tahun 2023 turut mencatatkan enam serbuan bagi kesalahan perlombongan bitcoin," katanya.

Menurutnya, kesemua barangan ini dilupuskan oleh Pendamaran Jaya Motor yang mana syarikat ini mempunyai lesen pihak berwajib berkaitan.

"Orang awam dinasihatkan agar tidak terlibat dalam aktiviti perjudian, kontraban dan perlombongan mata wang kripto secara haram.

"Penglibatan dalam kegiatan jenayah ini bukan sahaja memberi impak kepada ekonomi negara malah pelaku bakal berdepan dengan tindakan undang-undang," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!