Che Ta belajar daripada pengalaman

Che Ta bersama Mohammed Azman (dua dari kiri) dan Tengku Khalidah (kiri).
Che Ta bersama Mohammed Azman (dua dari kiri) dan Tengku Khalidah (kiri).
A
A
A

SIAPA sangka, sebelum mengecapi kemewahan kini, pelakon dan usahawan, Rozita Che Wan atau lebih mesra dengan panggilan Che Ta pernah melalui hidup susah termasuk tinggal di kawasan perumahan kos rendah.

Ujar wanita berusia 51 tahun itu, dia bukan dilahirkan dalam dulang emas dan pernah menjadi saksi betapa sukar ibunya menjadi ketua keluarga.

“Saya dilahirkan memang bukan anak orang senang. Ketika arwah bapa meninggal dunia, saya baru berusia 15 tahun dan emak pula seorang suri rumah serta tidak pernah bekerja seumur hidupnya.

“Emak terpaksa buat pelbagai kerja termasuk bekerja di kantin sekolah. Arwah Tok yang menjaga kami adik beradik.

“Daripada situ, saya tengok kesusahan emak bekerja keras untuk membesarkan kami tetapi emak tidak pernah minta bantuan orang lain,” katanya.

Bagaimanapun kehidupannya sekeluarga mula berubah apabila dia bekerja sebagai pramugari pada usia 17 tahun dengan gaji mencecah RM5,000 sebulan.

Namun kesenangan yang dilalui juga tidak kekal lama apabila Che Ta bercerai dengan suaminya, seorang juruterbang selepas dikurniakan dua cahaya mata.

Enggan menoleh ke belakang lagi, Che Ta berkata, dia kembali dalam bidang peragaan dan menceburi bidang lakonan selepas bercerai untuk menyara diri serta anak-anak.

Artikel Berkaitan:

“Golongan wanita juga tidak boleh hidup terlalu bergantung sangat dengan lelaki. Saya percaya lelaki akan lebih menghormati jika wanita ada pendapatan mereka sendiri.

“Saya juga berlakon pada usia agak lewat tapi tidak terlalu lewat untuk kita mulakan sesuatu kerana yang penting ada kemahuan.

“Cuma sampai bila saya nak berlakon sebab itu saya buat pelbagai bisnes. Kalau anda suri rumah pun masih boleh buat bisnes dan jana pendapatan,” jelasnya.

Che Ta ditemui pada sesi bual bicara Kemandirian Wanita bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Ketua Penjenamaan dan Editorial PERKESO, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin bertindak sebagai moderator dalam program yang berlangsung di pusat beli-belah, My Town Kuala Lumpur.

Majlis pelancaran kempen Fiesta Perkeso Membawa Senyuman disempurnakan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Acara turut disemarakkan dengan kehadiran lebih 10 artis yang turut menjadi pempamer selama tiga hari program PERKESO Membawa Senyuman. Antaranya Tyzo Xander, Izue Islam, Ako Mustapha, Anne Abdullah, Darling Ngasri, Syanie, Ani Maiyuni, Haleeda, Ayu Damit dan Azza Elite.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!