Bursa Malaysia dibuka meningkat sedikit dalam sentimen berhati-hati

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BURSA Malaysia memulakan dagangan Khamis dengan mencatat peningkatan kecil susulan sentimen berhati-hati serta seiring dengan peningkatan prestasi Wall Street berikutan rasa optimis terhadap prospek kadar faedah Amerika Syarikat (AS) serta penurunan harga minyak mentah, kata peniaga.

Pada jam 9.06 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 0.22 mata kepada 1,456.11 daripada paras 1,455.89 pada akhir dagangan semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka dengan menokok 0.79 mata kepada 1,456.68.

Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 148 berbanding 135 manakala 235 kaunter tidak berubah, sebanyak 1,856 tidak diniagakan dan 10 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 398.77 juta unit bernilai RM66.48 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng berkata, FBM KLCI ditutup rendah semalam susulan aktiviti jualan, kebanyakannya membabitkan saham berkaitan komoditi.

"Kami menjangkakan keadaan sedemikian berterusan memandangkan penilaian menarik ke atas ekuiti tempatan selain dipacu oleh pemulihan sentimen berikutan prestasi semalaman Wall Street yang memberangsangkan.

"Berikutan itu, kami menjangkakan indeks penanda aras akan bergerak dalam jajaran 1,455 hingga 1,465 dalam dagangan hari ini,” katanya kepada Bernama.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, harga minyak mentah Brent yang juga penanda aras dunia, turun 0.38 peratus kepada AS$81.65 setong.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank meraih satu sen kepada RM9.11, Tenaga menokok dua sen kepada RM10, CIMB dan Petronas Chemicals susut dua sen masing-masing kepada RM5.75 dan RM7.23 manakala Public Bank kekal pada RM4.27.

Bagi saham aktif, Sealink turun dua sen kepada 20 sen, TA Win berkurangan setengah sen kepada 3.5 sen, waran Eita meningkat dua sen kepada lapan sen manakala Hong Seng, Sarawak Consolidated dan Top Glove masing-masing kekal pada tiga sen, 65.5 sen dan 84 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas berkurangan 3.19 mata kepada 10,792.38, Indeks FBMT 100 turun 0.31 mata kepada 10,454.03 dan Indeks FBM Emas Syariah susut 3.36 mata kepada 10,989.63.

Indeks FBM 70 merosot 8.58 mata kepada 14,395.7 namun Indeks FBM ACE menokok 1.93 mata kepada 5,204.26.

Bagi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 2.74 mata kepada 16,393.74, Indeks Tenaga berkurangan 3.14 mata kepada 862.31, Indeks Perladangan merosot 7.27 mata kepada 6,953.41 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.08 mata kepada 174.13. - Bernama