Bunuh Kevin Morais: Keputusan rayuan enam lelaki hari ini

Keenam-enam lelaki itu merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Julai 2020 yang mensabitkan dan menjatuhi mereka hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh Kevin. Gambar Bernama
Keenam-enam lelaki itu merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Julai 2020 yang mensabitkan dan menjatuhi mereka hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh Kevin. Gambar Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Keputusan rayuan enam lelaki yang dihukum gantung kerana membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais akan diputuskan Mahkamah Rayuan di sini pada jam 9 pagi Khamis.

Mereka selaku perayu pertama hingga keenam itu ialah bekas pakar patologi, Kolonel Dr R Kunaseegaran, 61; pemberi pinjaman wang, S Ravi Chanran, 53, dan empat penganggur, R Dinishwaran, 32; A K Thinesh Kumar, 31; M Vishwanath, 34 serta S Nimalan, 31.

Keputusan berkenaan akan diputuskan panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin.

Keenam-enam lelaki itu merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Julai 2020 yang mensabitkan dan menjatuhi mereka hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh Kevin.

Mereka dituduh membunuh timbalan pendakwa raya itu ketika dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya ke Nombor 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya antara jam 7 pagi dan 8 malam pada 4 September 2015.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Kevin dilaporkan hilang pada 4 September 2015, yang mana sebelum itu dilihat meninggalkan kondominiumnya di Menara Duta, dengan menaiki kereta Proton Perdana.

Mayatnya ditemukan dalam tong dram yang disimen di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya pada 16 September 2015.

Artikel Berkaitan:

Ketika hujahan rayuan, Dinishwaran diwakili peguam, M Manoharan manakala peguam-peguam lain iaitu Datuk N Sivananthan hadir bagi pihak Kunaseegaran, Burhanudeen Abdul Wahid (Thinesh Kumar), Afifuddin Ahmad Hafifi (Vishwanath), Amer Hamzah Arshad (Nimalan) dan Kitson Foong (Ravi).

Sementara pihak responden dibarisi Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, Mohd Fairuz Johari dan Mohd Fuad Abdul Aziz.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!