Tiada bukti bekas pakar patologi dalangi kes bunuh Kevin Morais - Peguam

Kevin Morais
Kevin Morais
A
A
A

PUTRAJAYA - Tiada bukti menunjukkan bekas pakar patologi, Kolonel Dr R. Kunaseegaran adalah dalang pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais, lapan tahun lepas, Mahkamah Rayuan diberitahu hari ini.

Peguam Datuk N.Sivananthan, mewakili Kunaseegaran, memberitahu panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin, bahawa tiada bukti yang menunjukkan terdapat pertemuan yang dirancang sebelum itu antara anak guamnya dan mana-mana tertuduh lain untuk melakukan pembunuhan itu.

Beliau berhujah bahawa adalah tidak logik bagi Kunaseegaran dan seorang lagi tertuduh, S. Ravi Chandaran, merancang pembunuhan itu bersama kerana dua lagi yang terputus hubungan mereka pada awal 2015 dan mereka tidak berkomunikasi.

"Pihak pendakwaan tidak pernah mengemukakan sebarang soalan kepada Kunaseegaran dan Ravi Chandaran bahawa mereka mempunyai niat yang sama untuk membunuh si mati atau mencederakannya dalam apa cara sekalipun,” kata Sivananthan pada prosiding rayuan enam lelaki yang dijatuhi hukuman mati kerana membunuh Morais.

Beliau berkata, hakim Mahkamah Tinggi tersilap apabila mendapati Kunaseegaran mempunyai niat untuk membunuh berdasarkan motif dan permohonan anak guamnya supaya Morais menarik diri daripada mengendalikan perbicaraan rasuahnya (Kunaseegaran) di Mahkamah Sesyen Shah Alam tidak membuktikan bahawa dia (Kunaseegaran) berdendam terhadap Morais.

Sivananthan, dibantu peguam Jasmine Cheong, turut berhujah bahawa adalah bukan perkara luar biasa bagi anak guamnya memfailkan permohonan menarik diri, sambil menambah bahawa penolakan itu bukan terhadap Morais sahaja tetapi juga pendakwa raya lain.

Kunaseegaran, 60, bekas pemberi pinjaman wang Ravi Chandaran, 52, dan empat individu lain, iaitu R. Dinishwaran, 31, A.K. Thinesh Kumar, 30, M. Vishwanath, 33 dan S. Nimalan, 30, semuanya menganggur, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 10 Julai 2020, selepas mereka didapati bersalah membunuh Morais.

Kesalahan itu dilakukan di satu lokasi di sepanjang Jalan Dutamas Raya Sentul dan No. 1, Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya, antara 7 pagi dan 8 malam pada 4 September 2015.

Artikel Berkaitan:

Morais, 55, dilaporkan hilang pada 4 September 2015 setelah kali terakhir dilihat meninggalkan apartmennya di Menara Duta di Kuala Lumpur dengan menaiki Proton Perdana. Mayatnya ditemui dalam tong minyak berisi simen di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, pada 16 September 2015.

Sivananthan juga memberitahu mahkamah bahawa keterangan saksi pendakwaan G. Gunasekaran, yang menjadi sandaran Mahkamah Tinggi untuk mensabitkan anak guamnya, adalah bercanggah dan tidak munasabah.

Gunasekaran pada mulanya didakwa membunuh Morais tetapi pertuduhan itu kemudiannya ditarik balik selepas dia mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan melupuskan mayat mangsa.

Dia dijatuhi hukuman penjara dua tahun dari tarikh ditangkap pada 15 September 2015, dan kemudian dipanggil sebagai saksi pendakwaan.

Mahkamah turut mendengar hujah peguam M. Manoharan, Burhanudeen Abdul Wahid dan Amer Hamzah Arshad yang masing-masing mewakili Dinishwaran, Thinesh Kumar dan Nimalan.

Manoharan berhujah bahawa tiada bukti langsung menunjukkan bahawa Dinishwaran telah menyumbang kepada berlakunya jenayah itu dan anak guamnya sepatutnya dilepaskan dan dibebaskan.

Burhanudeen pula berhujah anak guamnya (Thinesh Kumar) tidak kelihatan di mana-mana di tempat kejadian, kecuali di dalam kereta yang bertembung dengan kereta si mati, sambil menambah bahawa adalah tidak mencukupi untuk mahkamah melibatkannya (Thinesh) dalam kematian Morais.

Sementara itu, Amer Hamzah dalam hujah berkata anak guamnya (Nimalan) seharusnya didakwa dengan kesalahan tanpa niat membunuh mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Beliau berhujah anak guamnya menunjukkan kepada polis lokasi tempat tong itu dilupuskan tetapi tidak boleh dikatakan dia tahu kandungannya.

Perbicaraan bersambung pada hari Khamis. - Bernama