Hayati mesej 114 surah al-Quran

Untuk berkongsi ilmu dengan lebih meluas, peserta juga diberi alternatif untuk mengikuti kelas tersebut secara atas talian. Gambar hiasan, gambar kecil dari kiri: Shaykh Sharif, Marhaini
Untuk berkongsi ilmu dengan lebih meluas, peserta juga diberi alternatif untuk mengikuti kelas tersebut secara atas talian. Gambar hiasan, gambar kecil dari kiri: Shaykh Sharif, Marhaini
A
A
A

SHAH ALAM - Islamic Institute For Development & Research (IIDR) mengajak umat Islam untuk meningkatkan kefahaman mengenai sinopsis 114 surah dalam al-Quran melalui program Journey Through The Quran (JTQ) secara hibrid selama empat hari sempena Ramadan ini.

Program yang julung kali diadakan di negara ini akan berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Jalan Gombak bermula 9 pagi hingga 5 petang pada 16, 17, 23 dan 24 Mac ini.

Untuk berkongsi ilmu dengan lebih meluas, peserta juga diberi alternatif untuk mengikuti kelas tersebut secara atas talian.

Pengerusi IIDR, Shaykh Sharif Hasan Banna ketika dihubungi berkata, pihaknya bekerjasama dengan UIAM, Abdul Hamid Abu Sulayman Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan serta disokong oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Karya Bestari dan Sinar Karangkraf.

JTQ iaitu kursus pendidikan awam yang bertapak di London sejak 15 tahun lalu bertujuan memberi pembelajaran al-Quran secara sistematik.

Selain itu, peserta diberi pendedahan mengenai 99 pelajaran pembangunan diri dan mengetahui lebih dari 1,000 perkataan Arab al-Quran.

Gaya pengajaran juga dinamik dan menarik melalui pembentangan, slaid dan video. Sehingga kini seramai 25,000 pelajar dari lebih 135 negara telah mengikuti JTQ.

Pengajian al-Quran ini menjadi fokus utama dalam pendidikan Islam, selain akidah, hadis dan fiqh.

Artikel Berkaitan:

“Semua umat Islam percaya bahawa al-Quran sebagai wahyu terakhir ALLAH SWT dengan tujuan membimbing manusia menuju ke jalan yang benar. Ramai orang boleh membaca dan menghafal al-Quran dalam pelbagai bahasa.

“Namun sejauh manakah pemahaman umat Islam terhadap al-Quran dan bagaimana relevannya pada masa kini? Kursus ini diharapkan dapat membentuk pemikiran dan sikap kita untuk menghargai keindahan dan kekuatan al-Quran,” katanya.

Tambah beliau, ini selari dengan matlamat JTQ untuk membina hubungan seseorang muslim secara peribadi dengan al-Quran dan mengubah kehidupan dengan lebih baik atau disebut paradigma al-Quran.

Ia adalah perjalanan hikmah dan bimbingan daripada ALLAH SWT untuk menyuburkan hati dan mencerahkan minda.

IIDR menyasarkan 200 peserta secara fizikal pada JTQ tahun ini dengan harga tiket berbeza mengikut pilihan iaitu tiket secara bersemuka selama empat hari berharga RM600; bersemuka dua hari RM420; bersemuka sehari RM220; atau secara dalam talian termasuk akses rakaman RM550.

Bagi mereka yang berminat tapi kurang berkemampuan, boleh memohon potongan 50 hingga 100 peratus. Untuk maklumat lanjut mengenai JTQ, sila layari di www.iidr.org.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, WUIF memberi sokongan kepada IIDR dalam meningkatkan kefahaman terhadap al-Quran, terutama pada bulan Ramadan.

“Hubungan IIDR bersama WUIF bermula dengan penyertaan Shaykh Sharif Hasan sebagai moderator pada World #QuranConvention (WQC), 2 Disember 2023. Kami menyambut baik cadangan beliau untuk berkolaborasi bersama WUIF dalam mendekatkan ummah dengan al-Quran.

“Selepas WQC, kini semakin ramai pembuat modul, penulis dan penyelidik dari dalam dan luar negara datang bersinergi dengan WUIF. Ia merupakan perkembangan positif untuk berkolaborasi dengan mana-mana pihak dalam membawa misi MenQurankan Bangsa mengikhlaskan Ummah,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28