Jangan hantar ucapan kebencian pada 15 Mac - PBB

Antonio Guterres
Antonio Guterres
A
A
A

NEW YORK - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres memberi amaran supaya tiada ucapan kebencian dihantar secara dalam talian pada Hari Antarabangsa Untuk Memerangi Islamofobia yang jatuh pada 15 Mac ini.

"Ucapan kebencian dalam talian menjadi bahan api kepada keganasan dalam kehidupan sebenar,” katanya seperti dilaporkan Agensi Berita Emiriah (WAM).

"Hari Antarabangsa untuk Memerangi Islamofobia berlaku pada masa kami menyaksikan peningkatan arus anti-Islam dan sikap tidak bertoleransi dalam banyak tempat di dunia,” katanya lagi.

Beliau berkata, diskriminasi yang sudah menjadi kebiasaan dan lain-lain halangan adalah melanggar hak asasi manusia dan menjatuhkan martabat umat Islam serta retorik yang memecahbelahkan dan gambaran yang salah membawa stigma kepada masyarakat.

Kemunculan trend yang mengganggu ini merupakan sebahagian daripada corak serangan lebih lebar terhadap kumpulan agama dan golongan rentan termasuk Yahudi, komuniti minoriti Kristian dan lain-lain, kata Gutteres.

"Kita mesti berhadapan dan mencabut keluar akar sikap tidak bertoleransi ini dalam segala bentuk. Pemimpin mesti mengecam ucapan yang membangkitkan kemarahan dan keganasan serta melindungi kebebasan beragama.

Platform digital mesti menyederhanakan kandungan mengandungi kebencian dan melindungi pengguna daripada gangguan dan setiap orang perlu bersatu untuk memerangi sikap tidak bertoleransi, stereotaip dan berat sebelah,” katanya.

Setiausaha Agung PBB itu mengajak masyarakat dunia supaya saling hormat menghormati dan memahami, memupuk kepaduan sosial dan membina sebuah masyarakat yang aman, adil dan terangkum untuk semua.

Artikel Berkaitan:

Pada 2022 Perhimpunan Agung PBB menerima pakai sebuah resolusi ditaja oleh 60 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), yang menetapkan 15 Mac sebagai Hari Antarabangsa Untuk Memerangi Islamofobia.

Dokumen itu menekankan keganasan dan fahaman keganasan melampau tidak boleh dan tidak harus dikaitkan dengan sebarang agama, kerakyatan, peradaban atau kumpulan etnik.

Ia menggesa untuk dialog sejagat bagi menggalakkan sebuah kebudayaan yang bertoleransi dan aman berdasarkan penghormatan kepada hak asasi manusia dan kepelbagaian agama serta kepercayaan. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28