Tiada lagi cinta, Bella Astillah mohon cerai daripada Aliff

Bella memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya, Aliff Aziz di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Isnin lalu. Foto Instagram Bella Astillah
Bella memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya, Aliff Aziz di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Isnin lalu. Foto Instagram Bella Astillah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelakon, Bella Astillah telah memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya, pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini pada Isnin lalu.

Peguam syarie, Azmi Mohd Rais yang mewakili Bella atau nama sebenarnya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 29, berkata, permohonan cerai dibuat kerana tiada persefahaman dan 'mawaddah' (cinta dan kasih sayang).

Menurutnya, Bella selaku plaintif memfailkan permohonan berkenaan dua hari lalu, mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Beliau berkata, mahkamah menetapkan Khamis untuk sebutan kali pertama tetapi diawalkan kepada Rabu.

"Anak guam saya hadir ke mahkamah dengan ditemani ahli keluarganya, namun Aliff tidak dapat datang kerana mempunyai urusan lain.

"Susulan itu, mahkamah menetapkan 4 April depan untuk sebutan semula kes dan pada tarikh itu kedua-dua pihak akan hadir ke mahkamah," katanya ketika dihubungi.

Sabtu lalu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mengesahkan tangkapan pasangan dipercayai berkhalwat di sebuah kondominium mewah di ibu kota pada malam Jumaat.

Jawi berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung dakwaan penahanan pasangan artis berstatus suami orang dengan seorang pelakon wanita seperti dilaporkan media sejak awal pagi itu.

Artikel Berkaitan:

Aliff yang juga anak kelahiran Singapura mendirikan rumah tangga dengan Bella pada 9 September 2016, namun, pernah bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum rujuk semula dalam tempoh edah.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Ayden Adrean, 6, dan Ara Adreanna, 3.