Pendedahan audio: Saya mahukan keadilan, kata Daim

Tun Daim Zainuddin
Tun Daim Zainuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin menegaskan beliau mahukan keadilan dalam isu pendedahan rakaman audio yang dibuat oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya Rabu lalu.

“Saya hanya mahukan keadilan. Keadilan dan kebenaran, itu sahaja,” katanya kepada pemberita pada pelancaran awal MyKampung Japan di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai pendedahan dibuat SPRM yang telah mendapat pelbagai kritikan termasuklah daripada pemimpin kerajaan sendiri.

Pendedahan yang dibuat SPRM itu adalah sembilan klip rakaman audio yang mengandungi perbualan telefon antara individu berprofil tinggi seperti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor serta bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Zulkifli Ahmad.

Turut didedahkan rakaman perbualan Najib dengan Putera Mahkota Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Putera Sheikh Mohammed Zayed Al-Nahyan.

Daim yang juga Penasihat Ekonomi kepada kerajaan turut mengingatkan Malaysia perlu bersedia berdepan dengan masalah yang dihadapi di seluruh dunia seperti yang berlaku di Timur Tengah dan Hong Kong.

“Saya berharap (masalah) tidak menjejaskan kita, tetapi apa jua yang berlaku di dunia ini sudah tentu memberi kesan kepada kita. Jadi kita mesti bersedia,” katanya.

Artikel Berkaitan: