25 tan daging babi import tiada label disita

Kontena yang menempatkan bungkusan daging babi import berkenaan. - Foto Maqis Johor
Kontena yang menempatkan bungkusan daging babi import berkenaan. - Foto Maqis Johor
A
A
A

PASIR GUDANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor menyita sebuah kontena yang membawa muatan daging babi import bernilai RM400,000 di Pelabuhan Pasir Gudang di sini, pada lewat petang Selasa.

Pengarah Maqis Johor, Edie Putra Md Yusof berkata, daging babi yang diimport dari Sepanyol yang dianggarkan seberat 25 tan itu merupakan dari bahagian pork belly.

“Pihak Maqis telah menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah kontena yang membawa masuk daging babi di bay pemeriksaan import pada jam 6.00 petang semalam (Selasa).

“Didapati konsainan terbabit tidak mematuhi syarat pengimportan kerana tiada label yang diletakkan pada setiap bungkusan daging babi tersebut sedangkan syarat permit ada menyatakan setiap daging hendaklah di label pada setiap bungkusan dengan meletakkan nama, alamat, nombor loji dan tarikh penyembelihan.

“Oleh itu, perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(2), Akta yang sama kerana tidak mematuhi syarat import.

Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000.00 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam kenyataan sama, pihak Maqis juga sentiasa menjalankan penguatkuasaan undang-undang yang diperluaskan di semua pintu masuk negara bagi memantau dan memeriksa setiap keluaran pertanian agar tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikro-organisma yang diimport ke negara ini bebas daripada ancaman makhluk perosak, penyakit, bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.

Artikel Berkaitan: