Maqis rampas daging babi, daging lembu sejuk beku

Kenderaan yang ditahan kerana dipercayai membawa daging berkenaan. Gambar kanan: Lagi daging yang dimuatkan dalam bekas di bumbung kereta terbabit. - Foto: Maqis Johor
Kenderaan yang ditahan kerana dipercayai membawa daging berkenaan. Gambar kanan: Lagi daging yang dimuatkan dalam bekas di bumbung kereta terbabit. - Foto: Maqis Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas 12 kotak berisi daging babi dan sekotak daging lembu sejuk beku di Kompleks CIQ Bangunan Sultan Iskandar pada Rabu.

Pengarah MAQIS Johor, Edie Putra Md Yusof berkata, daging babi yang dianggarkan seberat 120 kilogram (kg) dan daging lembu (10 kg) itu dipercayai cuba di bawa masuk ke negara ini dari Singapura.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan terhadap sebuah kereta dengan nombor pendaftaran asing sekitar 7.30 malam pada Rabu, pegawai penguatkuasa Maqis telah menemui kotak berisi daging babi dan daging lembu yang cuba dibawa masuk tanpa sebarang dokumen.

“Hasil pemeriksaan mendapati daging babi dan lembu tersebut dibawa masuk tanpa permit import Maqis dan Sijil Kesihatan dan telah ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa permit import MAQIS merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama.

Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000.00 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Edie Putra berkata, Maqis akan sentiasa memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih dan mikroorganisma yang dibawa masuk ke dalam negara ini adalah bebas daripada ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar.

Artikel Berkaitan: