[VIDEO] Pengemis OKU miliki Proton X70: KPWKM hentikan bantuan elaun

A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah memberhentikan bantuan elaun Orang Kurang Upaya (OKU) kepada seorang penerima susulan terbongkar kehidupannya yang melakukan aktiviti mengemis hingga mampu memiliki Proton X70 Premium.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, selain elaun sebanyak RM450 dihentikan bermula bulan ini, pihaknya turut memberikan amaran dan meminta lelaki itu melengkapkan surat aku janji sebagai jaminan untuk tidak mengemis lagi.

"Siasatan lanjut juga mendapati dia kini bekerja di sebuah syarikat bas sebagai penyelia syif dengan anggaran pendapatan RM2,000 sebulan dan sebab itulah individu ini tidak boleh lagi menerima bantuan kebajikan daripada JKM (Jabatan kebajikan Masyarakat)," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.

Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang ingin tahu tindakan KPWKM dan JKM terhadap seorang OKU yang menerima bantuan daripada JKM, namun melakukan aktiviti mengemis dan memiliki sebuah Proton X70 seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Lelaki yang cacat pada kedua-dua tangannya itu dilaporkan memperoleh pendapatan hingga RM500 dalam tempoh lima jam hasil kutipan sumbangan orang ramai di pasar malam sebelum perbuatan itu berjaya dibongkar JKM Maran pada Februari lepas.

Sementara itu mengulas langkah jangka panjang KPWKM bagi menangani isu orang papa dan gelandangan, Noraini berkata, kementerian itu sedang melaksanakan Kajian Semakan Semula Akta Orang-Orang Papa 1977 dalam usaha menambah baik pengendalian isu berkenaan.

"KPWKM menyasarkan dapatan kajian ini akan diguna pakai sebagai asas pertimbangan dalam merasionalkan ketetapan berkaitan mekanisme penyelesaian isu pengemisan, gelandangan, aspek pemulihan dan penguatkuasaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Noraini berkata, bagi langkah jangka pendek, KPKWM melaksanakan Op Menyelamat Orang-orang Papa secara serta-merta, berjadual atau berkala di kawasan ‘hotspot’ seperti di pusat bandar raya Kuala Lumpur dengan menjalankan operasi bersepadu selaras pelbagai akta berkaitan.

Menurutnya akta tersebut merangkumi Akta Pungutan Rumah Ke Rumah dan Di Jalan 1947, Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 27 (c) Akta Kesalahan Kecil 1955 (Peminta-peminta sedekah) serta undang-undang di bawah Pihak Berkuasa Negeri dan Tempatan iaitu Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Undang-Undang Kecil.

"Penyelesaian kepada isu ini bukan terletak pada bahu KPWKM semata-mata, sebaliknya kerjasama dan sokongan semua pihak amat dialu-alukan termasuk kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan orang awam,” katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28