IDEAS gesa kerajaan perkukuh tadbir urus kewangan

IDEAS menggesa kerajaan untuk memperkukuh tadbir urus kewangan berikutan Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan kerugian kewangan besar dalam anak syarikat agensi persekutuan.
IDEAS menggesa kerajaan untuk memperkukuh tadbir urus kewangan berikutan Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan kerugian kewangan besar dalam anak syarikat agensi persekutuan.
A
A
A

SHAH ALAM - Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menggesa kerajaan untuk memperkukuh tadbir urus kewangan berikutan Laporan Ketua Audit Negara yang mendedahkan kerugian kewangan besar dalam anak syarikat agensi persekutuan.

Sehubungan itu, Pengurus Kanan IDEAS, Alissa Rode mendesak agar kerajaan menyelaraskan operasi dengan menutup anak syarikat berlebihan dan tidak cekap dalam menguruskan kos yang bersaing dengan perniagaan kecil.

Menurutnya, laporan tersebut menggariskan angka yang membimbangkan kerana anak syarikat di bawah lima agensi persekutuan pada 2022 menunjukkan kerugian hampir RM2 bilion walaupun mencatatkan pelaburan tertinggi sebanyak RM54.574 bilion.

“Sebagai contoh, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengalami kerugian sebanyak RM1 bilion, menekankan keperluan mendesak untuk meninjau semula secara menyeluruh dan menggabungkan semula agensi serta anak syarikat kerajaan.

“Ia bertujuan untuk memastikan kecekapan dan mengelakkan kemunduran kewangan yang tidak perlu,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jelas Alissa, tanpa penyusunan semula yang signifikan, peningkatan kerugian dan kebergantungan kepada bantuan kewangan akan menjadi beban jangka panjang kepada kerajaan dan pembayar cukai.

Beliau turut menegaskan bahawa IDEAS menekankan kebertanggungjawaban terhadap salah urus dan mencadangkan agar agensi yang menghadapi isu berulang dalam bidang audit utama dipantau rapat oleh Parlimen dan melalui Papan Susulan Laporan Ketua Audit Negara.

“IDEAS tidak bersetuju bantuan kewangan dan jaminan kerajaan Persekutuan yang berterusan sebagai penyelesaian masalah kerana ketidaklestarian kewangan dan kesan negatif terhadap penarafan kredit kerajaan.

Artikel Berkaitan:

“Sebaliknya, institut ini menekankan keperluan pengawasan yang lebih ketat daripada kedua-dua cawangan eksekutif dan legislatif untuk memastikan tadbir urus baik dan tanggungjawab kewangan dalam agensi kerajaan dan anak syarikat mereka,” ujarnya.

Justeru, IDEAS menyeru kerajaan untuk mengurus secara aktif risiko kewangan daripada anak syarikat dan menggabungkan aktiviti tidak relevan atau berisiko tinggi yang menyimpang daripada objektif dasar sebenar agensi.

Alissa berkata, agensi harus berhenti menjalankan aktiviti pasaran tidak berkeperluan yang lebih baik dilakukan oleh sektor swasta.

Pada masa sama, beliau memaklumkan bahawa IDEAS mencadangkan agar kerajaan memberikan penjelasan tambahan mengenai langkah yang akan diambil untuk meningkatkan profesionalisme lembaga pengarah agar menjadikan mereka lebih bertanggungjawab terhadap prestasi agensi.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28