Hubungan Malaysia dengan China baik-baik sahaja - Anwar

Anwar (kiri) bersama Canselor Jerman Olaf Scholz ketika sidang akhbar bersama pada Majlis Sambutan Rasmi bersempena dengan lawatan rasmi enam hari beliau di Federal Chancellery pada Selasa. Foto: Bernama
Anwar (kiri) bersama Canselor Jerman Olaf Scholz ketika sidang akhbar bersama pada Majlis Sambutan Rasmi bersempena dengan lawatan rasmi enam hari beliau di Federal Chancellery pada Selasa. Foto: Bernama
A
A
A

BERLIN - Malaysia telah memberi jaminan kepada Jerman bahawa hubungannya dengan China adalah baik dan tidak berdepan dengan sebarang isu yang serius.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun Malaysia adalah sebuah negara yang kecil namun ia berhak menjalin hubungan dengan banyak negara bagi memastikan rakyatnya mendapat manfaat daripada kerjasama itu.

“Saya amat kagum dengan keikhlasan dan pemahaman anda termasuk mengenai apa yang berlaku di Malaysia serta rantau ini,” kata beliau pada sidang akhbar bersama rakan sejawatnya Canselor Jerman Olaf Scholz.

Meskipun Malaysia mengakui pengaruh China yang semakin berkembang serta kesannya terhadap dinamik serantau, Anwar berkata, komitmen negara untuk mengekalkan hubungan baik dengan China dan pada masa yang sama melindungi kedaulatan serta kepentingannya sendiri juga adalah penting.

Semasa mesyuarat dua hala dengan Scholz, Anwar berkata, beliau telah memaklumkan bahawa China adalah rakan perdagangan utama Malaysia di peringkat global dan kedua-dua negara meraikan sambutan Ulang Tahun ke-50 Penubuhan Hubungan Diplomatik tahun ini, yang merupakan satu pencapaian bersejarah bagi mereka.

Anwar juga berkata, beliau menekankan kepentingan penglibatan secara konstruktif dan dialog bagi menangani sebarang cabaran yang timbul daripada pengaruh China di rantau ini termasuk isu membabitkan Laut China Selatan.

Mengenai krisis di Ukraine, Perdana Menteri berkata, kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa Rusia perlu menghentikan pencerobohan di sana dan mencari penyelesaian secara aman dalam konflik itu.

“Ia mempunyai kesan dari segi perdagangan dan pembangunan ekonomi malah natijahnya dapat dirasai sehingga ke Asia,” kata beliau. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28