Umat Islam di Singapura, Indonesia dan Thailand mula berpuasa Selasa, 12 Mac

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SINGAPURA - Umat Islam di Singapura, Indonesia dan Thailand akan mula berpuasa pada Selasa, 12 Mac.

Mufti Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir dalam satu klip video yang dimuat naik di laman sosial Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), pada Ahad berkata: "Mengikut kiraan hisab, anak bulan Ramadan tidak mungkin dapat dilihat di atas ufuk Singapura ketika matahari terbenam petang tadi kerana ia terlalu kecil dan tidak memenuhi syarat kriteria imkanur rukyah yang telah dipersetujui oleh negara-negara anggota MABIMS (Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura).

"Ini bererti, esok adalah hari pencukup bulan Syaaban sebanyak 30 hari. Oleh yang demikian, sukacita saya mengisytiharkan bahawa awal Ramadan pada tahun 1445 H jatuh pada lusa, Selasa bersamaan 12 Mac”.

Sempena Ramadan, beliau juga mengajak semua umat Islam untuk memenuhi kewajipan berpuasa dan beribadat dengan penuh penghayatan dan keihsanan.

Di Jakarta, Menteri Agama Indonesia, Yagut Cholil Qoumas mengumumkan 1 Ramadan jatuh pada 12 Mac bagi umat Islam di republik itu mula menjalani ibadah puasa.

Beliau berkata, demikian selepas Mesyuarat Isbat (penentuan tarikh Ramadan) yang melibatkan Bahagian Rukyah dan Hisab Kementerian Agama dan Agensi Penyelidikan dan Inovasi Kebangsaan (BRIN), Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) serta dihadiri beberapa duta besar dan pertubuhan Islam tempatan.

Di Bangkok, Ketua Sheikhul Islam, Arun Boonchom berkata, umat Islam di Thailand akan mula berpuasa pada 12 Mac selepas tiada anak bulan Ramadan kelihatan semasa proses pencerapan di beberapa lokasi di wilayah selatan, selepas matahari terbenam pada Ahad.

Pengumuman itu juga dibuat di stesen televisyen dan radio. - Bernama

Artikel Berkaitan: