Balai Cerap Al-Biruni Tanjung Dumpil jadi destinasi pelancongan

Shahelmey ketika melihat anak bulan di Balai Cerap Al-Biruni Tanjung Dumpil, Putatan pada Ahad.
Shahelmey ketika melihat anak bulan di Balai Cerap Al-Biruni Tanjung Dumpil, Putatan pada Ahad.
A
A
A

PUTATAN - Balai Cerap Al-Biruni Tanjung Dumpil yang menjadi lokasi melihat anak bulan di negeri ini akan dibuka sebagai salah satu destinasi pelancongan yang menarik di Sabah.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, balai cerap itu merupakan antara 29 lokasi rasmi untuk melihat anak bulan dan sebagai salah satu mercu tanda Islam serta perkembangan ilmu falak di negeri ini.

"Balai Cerap Al-Biruni akan dimanfaatkan sepenuhnya sebagai pemangkin bagi penyelidikan dan pendidikan berkaitan dengan ilmu falak dan astronomi.

"Kerajaan juga sangat komited dalam pelaksanaan Majlis Rukyah Hilal Rasmi (Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah) demi maslahah umat Islam di negara," katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh timbalannya, Datuk Ir Shahelmey Yahya di balai cerap tersebut di sini pada Ahad.

Tambah beliau lagi, Majlis Rukyah Hilal Rasmi bagi Ramadan, Syawal dan Zulhijjah serta Majlis Rukyah Hilal Ramadan Tahun 1445 Hijrah atau 2024 merupakan majlis rasmi bagi kerajaan Sabah setiap tahun.

"Ia merupakan majlis terpenting dalam soal ibadah umat Islam iaitu bagi menetapkan bermulanya umat Islam berpuasa, menyambut Aidilfitri dan Aidiladha.

"Rukyatul Hilal adalah suatu tuntutan, dan di Malaysia kaedah rukyah (melihat) dan hisab (kiraan) adalah kaedah yang digunakan bagi menetapkan awal Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah," katanya.

"Dari segi pelaksanaannya pula, kaedah rukyah dan hisab berdasarkan kriteria imkanur rukyah saling memenuhi keperluan antara satu sama lain dan tidak boleh dipisahkan.

Artikel Berkaitan:

"Kaedah rukyah ini tidak boleh dipraktikkan dengan sebaik-baiknya jika pengetahuan ciri-ciri anak bulan tidak diketahui dan rukyah tanpa persediaan teknikal adalah sia-sia dan boleh menimbulkan kekeliruan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerja yang berkaitan rukyah hilal adalah kerja mulia kerana ia mempunyai nilai ibadah.