LLM arah syarikat konsesi sedia hadapi kesesakan sepanjang Ramadan

LLM menjangkakan berlaku peningkatan jumlah trafik yang menggunakan lebuh raya bertol semasa pulang atau pergi bekerja sepanjang Ramadan bermula Selasa ini. - Gambar hiasan
LLM menjangkakan berlaku peningkatan jumlah trafik yang menggunakan lebuh raya bertol semasa pulang atau pergi bekerja sepanjang Ramadan bermula Selasa ini. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengarahkan semua Syarikat Konsesi Lebuh Raya untuk melakukan persediaan rapi terutamanya pada waktu puncak agar perjalanan pengguna lebuh raya selesa, selamat dan lancar sepanjang Ramadan.

LLM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya menjangkakan berlaku peningkatan jumlah trafik yang menggunakan lebuh raya bertol semasa pulang atau pergi bekerja pada bulan Ramadan yang dijangka bermula pada Selasa, 12 Mac.

"Antara inisiatif yang perlu dilaksanakan iaitu menyelaras semula lokasi dan masa penutupan lorong untuk kerja-kerja penyelenggaraan selaras dengan waktu pulang atau pergi dari bekerja sama ada di sektor kerajaan atau swasta yang akan berubah berbanding waktu kerja biasa.

"Menjadualkan semula waktu pengaktifan laluan tidal atau smartlane selaras dengan perubahan waktu kerja dan memastikan semua kemudahan disediakan di kawasan rehat dan rawat, hentian sebelah dan plaza tol dalam keadaan baik termasuk aspek bekalan air dan tahap kebersihan,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, LLM turut meminta pihak yang terlibat untuk mengenal pasti lokasi-lokasi tumpuan dan menyediakan kemudahan tambahan sementara bagi menangani peningkatan jumlah pengguna.

"Meningkatkan kerjasama bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membantu kelancaran pergerakan trafik terutamanya di lokasi-lokasi yang kritikal seperti lampu isyarat selepas susur keluar lebuh raya bagi mengelakkan limpahan trafik ke laluan utama lebuh raya,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pengarah LLM, Datuk Sazali Harun berkata demikian selepas lawatan turun padang hari ini untuk melihat perancangan serta tindakan pihak ANIH Berhad bagi mengurangkan kesesakan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) khususnya di Plaza Tol Gombak.

Beliau berkata, Kementerian Kerja Raya dan LLM serta semua syarikat konsesi lebuh raya sentiasa peka kepada keselesaan pengguna lebuh raya dan berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Artikel Berkaitan:

Pengguna lebuh raya boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik (TMC), LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat keadaan trafik atau mendapatkan bantuan. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28