Manuel Ott kembali sarung jersi TFC

Manuel Ott diumumkan secara rasmi menyertai TFC bagi mengharungi cabaran musim baharu Liga Malaysia (Liga M).
Manuel Ott diumumkan secara rasmi menyertai TFC bagi mengharungi cabaran musim baharu Liga Malaysia (Liga M).
A
A
A

BEKAS kapten Kedah Darul Aman (KDA), Manuel Ott disahkan kembali menyertai Terengganu FC (TFC) bagi mengharungi cabaran musim baharu Liga Malaysia (Liga M).

Penyertaan kembali pemain kebangsaan Filipina berusia 32 tahun itu ke dalam skuad Penyu diumumkan menerusi saluran media sosial rasmi TFC pada Ahad.

Pengumuman itu menjadikan Ott sebagai import keenam TFC disamping lima lagi pemain, Argzim Redzovic dari Montenegro, Matthew Steenvorden (Belanda), Nurillo Tukhtasinov (Uzbek), Ivan Mamut (Croatia) dan Ismaheel Akinade (Nigeria).

Jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner berkata, beliau yakin pemain berkenaan tidak memerlukan masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan skuad tersebut berdasarkan pengalaman yang ada sebelum ini.

"Penghijrahan Ott adalah keputusan terbaik untuk kedua-dua pihak, saya mengenalinya ketika menjadi Pengarah Teknikal TFC pada 2022 ketika pasukan ini di bawah kendalian jurulatih terdahulu.

"Dia pemain yang berkualiti dengan pengalamannya dalam Liga M sejak beberapa tahun lalu dan diyakini dapat memberi kekuatan di bahagian tengah bersama pemain lain," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Steinbruckner menyatakan, Ott merupakan pilihan terbaik pasukan itu untuk mengisi kuota import Asean yang sebelum ini diisi penyerang Thailand, Adisak Kraisorn dan Omid Nazari dari Filipina.

"Saya gembira dengan kehadiran beliau dan berharap akan memberi impak di posisi itu bersama Nurillo Tukhtasinov dan seorang lagi muka baharu, Akram Mahinan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, ketiadaan Ott di padang latihan sejak 5 Mac lalu terjawab apabila kapten Kedah itu dilepaskan dari skuad berkenaan bagi musim 2024/2025.

Pengumuman dibuat melalui media rasmi Sang Kenari pada Sabtu itu sekali gus menyaksikan Ott menjadi pemain import kesembilan musim lalu yang tidak akan bersama pasukan berkenaan pada tahun ini.

Ott memulakan kariernya bersama kelab ramaja dalam Bundesliga Jerman, TSV 1860 sebelum berkelana ke Asia Tenggara bersama kelab Filipina, Ceres La Salle dan United City serta Ratchaburi FC.

Pemain itu kemudian beraksi untuk Melaka United pada 2021 dan bersama TFC pada 2022 di bawah kendalian jurulatih ketika itu, Nafuzi Zain dengan kedua-duanya berhijrah ke KDA, tahun lalu.

Bagaimanapun, masalah tunggakan gaji yang melanda dikatakan menjadi antara punca penghijrahan besar-besaran tonggak import KDA dengan Ott turut menamatkan kontrak secara persetujuan bersama.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28