Rizab LTAT negatif tak tepat, Khaled sedia jelaskan kepada PAC

Mohamed Khaled (tengah) melihat proses menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Yayasan LTAT diwakili Ketua Eksekutifnya, Datuk Dr Mohd Nizar Sudin (duduk, kiri) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diwakili Ketua Eksekutifnya, Ahmad Dasuki Abdul Majid pada Pembarisan Tahunan Putera Maktab Tentera Diraja (MTD) yang diadakan pada Ahad. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB
Mohamed Khaled (tengah) melihat proses menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Yayasan LTAT diwakili Ketua Eksekutifnya, Datuk Dr Mohd Nizar Sudin (duduk, kiri) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diwakili Ketua Eksekutifnya, Ahmad Dasuki Abdul Majid pada Pembarisan Tahunan Putera Maktab Tentera Diraja (MTD) yang diadakan pada Ahad. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan kedudukan rizab negatif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) hingga mencatatkan kerugian seperti yang dibangkitkan oleh Laporan Ketua Audit Negara adalah tidak begitu tepat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan bahawa pada tahun 2022, rizab LTAT memang berada pada kedudukan positif.

"Sebenarnya ada tiga tabung komponen rizab gabungan dalam LTAT, pihak Auditor General (Ketua Audit Negara) merujuk kepada satu tabung sahaja (Rizab Pendapatan Komprehensif Lain (OCI) tetapi tabung secara gabungan menunjukkan positif dan untuk tahun ini pun mencatatkan positif.

"Ini bermakna pada tahun lepas 2022 kita merekodkan positif, 2023 pun positif lebih kurang dalam RM900 juta rizab LTAT untuk tahun lepas.

"Ertinya, sebenarnya kita ingin jelaskan kedudukan LTAT rizabnya seperti yang dibangkitkan oleh Audit Negara yang mengatakan negatif (mencatat kerugian) adalah tidak begitu tepat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media Majlis Perbarisan Tahunan Putera Maktab Tentera Diraja (MTD) di Kem Perdana Sungai Besi di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled juga menambah bahawa beliau bersedia dan akan menjelaskan fakta sebenar berkaitan rizab LTAT itu kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) nanti sekiranya dipanggil nanti selepas ditanya mengenai tindakan pihaknya dalam isu tersebut.

"Dia (kedudukan rizab LTAT) positif... jadi kita akan beritahulah mereka (Audit) bahawa kita positif (LTAT).

Artikel Berkaitan:

"Saya tak nak cakap begitu (kesilapan Ketua Audit Negara) tapi saya hanya mahu cakap itu tak tepat.

"Saya akan jelaskan nanti kepada PAC... Dia tak kata akan panggil, dia kata mungkin akan panggil," tegasnya lagi.

Sebelum ini, PAC memaklumkan bahawa pihaknya akan memanggil pengurusan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) susulan pendedahan rizab LTAT berbaki negatif.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, PAC juga tidak menolak kemungkinan memanggil Menteri Pertahanan dalam prosiding tersebut.

Menurutnya, PAC amat bimbang dengan kedudukan kewangan LTAT selepas pendedahan daripada Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) pada Rabu lalu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28