1.44 juta murid, pelajar mulakan sesi persekolahan di 4 negeri hari ini

Pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Bahiyah ceria pada hari pertama sesi persekolahan hari ini. Foto Bernama
Pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Bahiyah ceria pada hari pertama sesi persekolahan hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 1.44 juta murid dan pelajar terdiri daripada Kumpulan A melibatkan Johor, Kelantan, Terengganu dan Kedah memulakan sesi persekolahan 2024/2025 hari ini.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, secara keseluruhannya, terdapat seramai lima juta murid serta pelajar mengikuti sesi persekolahan 2024/2025 dengan Kumpulan B akan memulakan sesi akademik esok.

Kumpulan B melibatkan Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

"Terdapat lima juta murid daripada (peringkat) prasekolah sehingga tingkatan enam, manakala di Johor sahaja, ada 602,619 orang (murid dan pelajar),” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail di JOHOR, pada Ahad.

Di TERENGGANU, Pengarah Pendidikan Negeri Jelani Sulong berkata seramai 234,789 pelajar tahun satu hingga tingkatan lima memulakan sesi persekolahan 2024/2025 hari ini di 506 sekolah di negeri itu.

"Jumlah tersebut merangkumi 134,380 murid sekolah rendah dan 100,409 pelajar sekolah menengah,” katanya ketika ditemui pemberita di SMK Serada, di Kuala Terengganu.

Di KELANTAN, Pengarah Pendidikan Negeri Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz berkata seramai 251,185 pelajar memulakan sesi persekolahan di negeri itu bagi sesi persekolahan 2024/2025.

"Sesi persekolahan kali ini dibuka ketika cuaca panas serta kering berpanjangan yang sedang melanda negara. Oleh itu, kami minta semua pihak berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya kepada pemberita selepas meninjau di Sekolah Kebangsaan Ismail Petra 1, Kota Bharu.

Artikel Berkaitan:

Tinjauan Bernama di sekolah berkenaan juga mendapati murid hadir ke sekolah seawal jam 7 pagi dan turut diceriakan dengan maskot watak animasi BoiBoi Boy, Transformers dan Hello Kitty.

Sementara itu, di KEDAH, Pengarah Pendidikan Negeri Ismail Othman berkata seramai 200,793 murid di 548 sekolah rendah dan 153,918 pelajar di 204 sekolah menengah memulakan sesi akademik hari ini.

"Terdapat seramai 31,110 murid memasuki tahun satu dan 31,090 murid memasuki tingkatan satu dan setakat ini semua sesi persekolahan di Kedah berjalan lancar,” katanya selepas meninjau sesi pembukaan persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Bahiyah, di Alor Setar. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!