Lebih 80 peratus pelajar MRSM daripada keluarga B40 - Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi (tengah) melawat MRSM Kuala Kubu Bharu sempena hari pendaftaran pelajar Tingkatan Satu pada Isnin
Asyraf Wajdi (tengah) melawat MRSM Kuala Kubu Bharu sempena hari pendaftaran pelajar Tingkatan Satu pada Isnin
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Amanah Rakyat (Mara) melalui Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) merekodkan pengambilan pelajar Tingkatan Satu dan Empat ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sesi 2024 khusus buat keluarga berpendapatan rendah B40 adalah melebihi 80 peratus.

Menurut Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, sebanyak 7,424 tawaran telah dikeluarkan kepada pelajar di seluruh negara.

“Lebih dari 6,000 tawaran diberikan kepada pelajar B40 untuk ditempatkan ke MRSM, namun begitu, laporan perkembangan terkini tentang penerimaan tawaran pelajar golongan tersebut adalah sebanyak 76 peratus.

“Pengambilan kuota B40 bagi pelajar MRSM sesi 2024 menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan pada kali ini dan dasar kita menetapkan bahawa 60 peratus kuota harus diisi pelajar B40.

"Sejajar dengan hasrat itu, tahun ini kita berjaya menyediakan tawaran melebihi daripada peratusan asal sebagai usaha murni kita bagi mengutamakan mereka yang berpendapatan rendah mendapat kemudahan pembelajaran dan pengajaran yang terbaik menerusi sistem pendidikan MRSM,” ujar Asyraf Wajdi.

Asyraf Wajdi (tengah) bermesra bersama para pelajar MRSM Kuala Kubu Bharu.
Asyraf Wajdi (tengah) bermesra bersama para pelajar MRSM Kuala Kubu Bharu.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan ke MRSM Kuala Kubu Bharu sempena hari pendaftaran pelajar Tingkatan Satu di MRSM berkenaan pada Isnin.

Ujarnya lagi, perkara itu juga menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa Mara memberikan keutamaan kepada golongan kaya sahaja dan mengabaikan hak golongan berpendapatan rendah.

Artikel Berkaitan:

“Saya sangat berpuas hati dengan ketelusan, kecekapan oleh pengurusan Mara atas komitmen mereka yang sering memberikan kerjasama terbaik dalam mencapai agenda pemerkasaan modal insan dalam bidang pendidikan Bumiputera,” ujar Asyraf.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi turut mengingatkan kepada keluarga pelajar yang mengalami kesukaran kewangan untuk tidak sewenang-wenangnya menolak tawaran keemasan yang diberikan.

Ujarnya, ini kerana Mara menyediakan Program Bantuan Untuk Pendidikan (Budi) bagi memberikan bantuan kewangan dan kelengkapan persekolahan kepada mereka yang datang daripada golongan keluarga berpendapatan rendah.

Program Budi adalah sebagai inisiatif keprihatinan Mara yang memfokuskan kepada pelajar kurang berkemampuan untuk memastikan anak-anak MRSM mendapat kesamarataan dalam sistem pendidikan yang terbaik.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28