Mayat lelaki ditemui tersangkut tiang paip di Sungai Klang

Mayat lelaki ditemui tersangkut pada tiang paip air di Sungai Klang pada Sabtu.
Mayat lelaki ditemui tersangkut pada tiang paip air di Sungai Klang pada Sabtu.
A
A
A

SUBANG JAYA - Mayat seorang lelaki warga tempatan ditemui dalam keadaan tertiarap di tiang paip, Sungai Klang di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada jam 9.01 pagi.

"Ketika ditemui, mayat mangsa dalam keadaan tersangkut pada tiang paip air dengan lengkap berpakaian tanpa kasut.

"Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu berbaju T serta seluar jean biru, tali pinggang hitam serta memakai jam tangan hitam di tangan kiri," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Wan Azlan berkata, pemeriksaan dilakukan pada tubuh badan lelaki berkenaan tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri.

"Hasil pemeriksaan lanjut dilakukan pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor mengesahkan terdapat kecederaan luka pada dahi, kedua-dua tangan serta lebam pada rusuk kiri selain lidahnya terjelir.

"Tiada sebarang senjata ditemui berhampiran lokasi kejadian. Setakat ini, tiada sebarang unsur jenayah dikesan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Beliau berkata, proses bedah siasat terhadap mayat lelaki terbabit dijangka dijalankan jam 9 pagi Ahad di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang untuk mengenal pasti punca kematian.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang di talian 03-78637100 bagi membantu siasatan," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28