TH terima permohonan maaf pengadu, dakwaan wang hilang selesai

Laporan Sinar Harian berhubung dakwaan wang Tabung Haji lesap.
Laporan Sinar Harian berhubung dakwaan wang Tabung Haji lesap.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) pada Sabtu menerima permohonan maaf daripada seorang bekas pegawai kanan kerajaan yang sebelum ini mendakwa wang lebih RM30,000 dalam akaun TH miliknya hilang dan kes itu kini telah selesai sepenuhnya.

Bahagian Komunikasi Korporat TH berkata, berikutan dakwaan kehilangan wang yang telah memberi kesan kepada imej dan reputasi pihak mereka, TH telah memberikan penerangan terperinci kepada pengadu, Datuk Jabidah Monseri, 66, berdasarkan bukti-bukti yang jelas.

Kenyataan media TH pada Sabtu.
Kenyataan media TH pada Sabtu.

“Pada 9 Mac 2024, pihak pengurusan TH telah berjumpa dengan Jabidah di Kuching, Sarawak dan beliau telah melahirkan rasa kesal serta membuat permohonan maaf.

“TH menerima permohonan maaf daripada beliau dan turut berterima kasih kepada Jabidah atas kerjasama baik yang telah diberikan,” katanya dalam dalam satu kenyataan.

Pada Khamis lalu, media melaporkan siasatan TH mendapati dakwaan seorang pendepositnya yang kononnya mengalami kerugian lebih RM30,000 selepas wang dalam akaun TH miliknya dipindah ke akaun milik orang lain adalah tidak benar.

Ia kerana wang yang didakwa hilang itu sebenarnya telah dimasukkan ke dalam akaun bank milik pendeposit sendiri.

Sebelum itu dilaporkan hasrat Jabidah bersama suami yang ingin mengerjakan ibadah umrah pada bulan Ramadan tidak kesampaian apabila wang lebih RM30,000 yang disimpan dalam akaun simpanan didakwa lesap.

Artikel Berkaitan:

Bahagian Komunikasi Korporat TH menjelaskan, TH mempunyai sistem pengurusan deposit yang selamat dan teguh serta sentiasa memberi perhatian yang amat serius terhadap keselamatan dan integriti operasi.

“Platform atas talian THiJARI juga telah dibangunkan dengan ciri-ciri keselamatan yang menepati standard dan amalan terbaik pasaran setaraf dengan aplikasi yang digunakan oleh institusi perbankan,” ujarnya.

Katanya, pendeposit boleh menghubungi Hotline Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919 untuk pertanyaan berkenaan sebarang transaksi yang mencurigakan.